Anne Ngasri asingkan politik, seni



Memberi fokus pada bidang kerjaya belakang tabir menjadi punca mengapa hampir dua tahun Anne Ngasri tidak berlakon.

SETELAH hampir dua tahun tidak membintangi mana-mana naskhah sama ada di kaca televisyen mahupun layar perak, pelakon yang terkenal menerusi drama sitkom Cili Padi, Anne Ngasri kini bakal muncul dengan naskhah terbaharu.

Selesa membahasakan diri sebagai Anne meskipun kini menyandang gelaran datin selepas berkahwin dengan Datuk Mohd. Sumali Reduan, pelakon berusia 31 tahun itu teruja apabila karya yang dihasilkan sekitar tiga tahun lalu akhirnya berjaya dipertontonkan kepada umum.

Bakal muncul dengan filem Love, Supermoon pada 22 Oktober depan, Anne mengakui kerjaya seninya sedikit perlahan sementelah dia kini sibuk membantu rumah produksi milik kakaknya, Darling Ngasri, NSSTAR Production.

Dua tahun memperlahankan kerjaya sebagai anak seni, kesibukan jadual kerja sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang, memperuntukkan Anne lebih memberi tumpuan kepada satu-satu kerja.

Anne yang kini mempunyai empat orang cahaya mata itu rancak bercerita mengenai kehidupan peribadinya dalam dunia politik dan industri lakonan.


Artis Meletop!: Hampir dua tahun menyepi daripada dunia seni. Anne kini muncul semula dalam filem baharu, Love, Supermoon mengapa?

ANNE: Sebenarnya ini bukan sebuah filem baharu, tetapi ia telah dihasilkan tiga tahun lalu. Kini saya teruja kerana selepas sekian lama menanti, akhirnya naskhah Love, Supermoon akan ditayangkan pada 22 Oktober depan.

Bolehkah anda jelaskan lebih lanjut tentang filem Love, Supermoon?

Dalam filem tersebut saya memegang watak sebagai Tiha yang berkawan baik dengan Triz lakonan Nadiya Nisaa dan Nina (Rita Rudaini). Filem ini mengisahkan kehidupan lima orang sahabat yang menuntut di sekolah yang sama dan berkawan rapat sehingga dewasa. Disebabkan kasihan melihat rakannya yang tertekan kerana masih tidak lagi berumah tangga, Triz cuba menjodohkan Tiha dengan bapa saudaranya, Ayah Cik. Memiliki perwatakan lucu dan kelakar, saya akui karakter Tiha sangat dekat dengan saya.

Jika dilihat pembabitan dalam industri seni sejak awal kemunculan sehingga ke hari ini, Anne sering diberi peluang untuk membawa watak komedi. Tidakkah berasa bosan kerana asyik membawa karakter sama?

Sejujurnya tidak pernah terlintas untuk berhenti (ketawa). Saya selesa membawa watak komedi dan merasakan mungkin disebabkan ketinggian dan sikap yang gemar berjenaka menjadikan karakter komedi itu lebih dekat sekali gus menjadikan pihak produksi percaya saya mampu membawakan watak sebegitu dengan baik. Secara peribadi pada pendapat saya, faktor ketinggian memainkan peranan penting untuk bergelar heroin.

Melihat kepada perjalanan kerjaya seni sekarang, anda kelihatan seperti tidak lagi berkarya sementelah tiada naskhah baharu yang dihasilkan. Mengapa?

Saya akui hampir dua tahun tidak aktif di hadapan kamera sebaliknya memberi tumpuan dengan kerja belakang tabir dengan membantu Darling di syarikat, NSSTAR Production. Memang ada menerima beberapa tawaran tetapi disebabkan kekangan masa untuk menguruskan keluarga dan tanggungjawab sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang menjadikan jadual kerja saya sedikit sibuk. Tawaran masih diterima namun, saya selesa bersikap selektif dalam memilih watak agar tidak membebankan pihak produksi.

Bergiat aktif dalam bidang politik, adakah anda mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni?

Tidak mungkin. Kerjaya sebagai pelakon telah sebati dalam diri sementelah saya telah terlibat dalam lapangan seni sejak usia kanak-kanak. Bagaimanapun ia dijadikan sebagai hobi sekiranya saya mempunyai masa lapang.

Tidakkah anda berasa bimbang kehilangan peminat yang berlainan fahaman politik?

Saya mengakui pernah terfikir tentang hal tersebut namun, ia bergantung kepada peminat itu sendiri. Tidak perlu mencampur adukkan hal politik dengan kerjaya seni. Biarpun perkara itu berlaku, saya tidak mempunyai kuasa menghalang sesiapa untuk menyokong mana-mana parti politik.

Previous Post Next Post