NAMA figura ini di dalam industri seni tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mula menyertai industri seni seawal usia 15 tahun, bakat lakonan aktor berbakat besar ini mula menyerlah tatkala membintangi filem Gila-Gila Remaja sebagai Roy, empat tahun kemudian.
Sejak itu nama Faizal Hussein semakin mendapat tempat dan sering ditawarkan membawa watak utama dan juga pelakon pembantu tidak kira di dalam filem mahupun drama.
Kini, biarpun sudah berusia 48 tahun, Faizal membuktikan dia masih mampu untuk menyaingi bakat baharu apabila telah beberapa kali dipilih sebagai pelakon utama di dalam filem.
“Alhamdulillah pada usia hampir mencecah 50 tahun, Allah kurniakan saya tubuh badan yang sihat. Saya tak nampak berusia dan berjaya kekalkan bentuk badan saya.
“Memang sejak muda, saya memastikan mengamalkan gaya hidup yang sihat, aktif. Apatah lagi bila berada di dalam bidang ini, kita mahu kekal lama.
“Dan saya bersyukur kerana mampu bertahan hingga ke hari ini dan orang percaya pada saya untuk membawakan peranan utama,” katanya kepada Zass, ketika dihubungi baru-baru ini.
Berharap pelakon baharu kini boleh mencontohinya, Faizal berkata, imej seseorang pelakon itu dapat membantu seseorang itu kekal lebih lama di dalam industri.
“Bila kita berada di dalam industri, penting untuk kita mengekalkan imej. Jangan nak cepat nampak tua.
“Selain imej, saya juga memastikan peranan yang dibawakan tidak seiring dengan usia saya. Contohnya, saya tidak kisah membawa peranan sebagai bapa, tetapi tidaklah anak saya sudah nampak berusia 30-an.
“Saya juga bertuah kerana walaupun sudah berusia 48 tahun, tapi penerbit dan pengarah masih beri saya kepercayaan untuk bawa peranan yang 10, 15 tahun lebih muda dari usia saya,” ujarnya.
Memuji keberanian penerbit yang mempertaruhkan pelakon berusia sebagai teraju utama, Faizal berkata, setiap penerbit perlu berani untuk mengambil risiko dalam penghasilan filem.
“Kalau kita tak cuba, kita tak tahu. Tapi pada saya penerbit kini lebih berani untuk mencuba dan mereka tahu apa yang mereka lakukan. Macam Mejar David Teo, dia tahu percaturan dan berani mengambil risiko, penerbit seperti inilah yang perlu ada di dalam industri,” katanya.
Tidak hanya mengejar peranan utama semata-mata, Faizal berkata, dia turut mengutamakan kualiti berbanding kuantiti filem dan drama lakonannya.
“Orang memang mengenali saya sebagai pelakon aksi, tetapi tidaklah semua filem dan drama bergenre aksi saya terima. Saya lihat juga watak dan jalan cerita agar tidak sama.
“Malah kadangkala saya turut cadangkan pada penerbit untuk melakukan pembaharuan di dalam filem terbitan mereka.
“Contoh mereka mahu terbitkan filem aksi. Saya fikir apa salahnya apabila kita keluar dari kotak. Apabila bercakap mengenai filem aksi mesti ada aksi sepak terajang, tumbuk. Mengapa tidak kita cipta kelainan dengan papar watak pakar baling pisau dan seumpamanya.
“Pendek kata, kita tidak boleh setiap masa membuat filem berkaitan rempit, hantu dan gangster semata-mata. Jika pelakon itu asyik berlakon filem yang hampir sama, ia boleh menjejaskan hayat kariernya,” jelasnya.
Bakal muncul dalam beberapa buah filem seperti Aku Abang Long Rajawali, Tujuh dan Kapsul, Faizal berkata, dia juga ada menerima beberapa tawaran menarik yang masih lagi di dalam perbincangan.
Pengalaman berharga
Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem Sains Fiksyen, Kapsul yang akan menemui penonton pada 17 September ini. Faizal berkata, menerusi filem yang diarahkan oleh Allahyarham Martias Mohd Ali, dia memegang watak sebagai Zohri Ibrahim, seorang hartawan muda Melayu yang sudah lupa diri.
Dia kemudiannya disedut oleh kapsul yang kononnya ditanam Tun Dr Mahathir Mohammad melalui empat zaman yang berbeza iaitu pada zaman pemerintahan Jepun, sebelum Merdeka, pembukaan Tanah Rancangan dan ketika Tun Mahathir meletakkan jawatan.
“Secara keseluruhannya tidak sukar untuk melakonkan watak di dalam filem ini, biarpun saya banyak perlu berlakon dengan layar hijau untuk Teknik Janaan Komputer (CGI) kerana saya pernah berlakon seumpama itu di dalam filem XXRAY.
“Cuma saya hanya berdepan dengan masalah cuaca yang terlalu panas ketika menjayakan babak tanah rancangan. Yang lain-lain saya rasa lebih kepada kesukaran pihak produksi untuk mereka set,” katanya.
Namun segala perit jerih mereka dalam pembikinan filem ini berbaloi apabila Tun Mahathir bersetuju untuk terlibat sama di dalam filem ini.
Meskipun penglibatan Tun Mahathir di dalam filem ini berlaku setahun, tiga bulan selepas selesai pembikinan, Faizal berkata, ia tetap meninggalkan kenangan manis buah seluruh produksi dan juga dirinya.
“Cuma kami sedikit terkilan dan sedih kerana penulis dan juga pengarah filem ini, Martias tidak sempat untuk melihat hasil kerjanya. Lebih menyedihkan kerana sejak awal lagi dia memang beria-ia mahu Tun terlibat sama. Tetapi impian itu tercapai selepas pemergiannya,”
katanya.
Bercerita lanjut pengalamannya berlakon di samping mantan perdana menteri keempat itu, Faizal berkata, Tun Mahathir hanya berlatih dua kali sebelum penggambaran dilakukan.
“Bila dapat tahu Tun akan berlakon, saya rasa macam ada rama-rama di dalam perut. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan itu tapi saya rasa bertuah kerana dapat berlakon di samping beliau,” ujarnya.
Tambah Faizal, dia berharap filem Kapsul tidak dipolitikkan kerana filem tersebut adalah filem patriotik.
“Bagi saya ia adalah sebuah filem patriotik yang lain daripada lain dan mampu menarik minat semua lapisan untuk menonton.
“Malah filem ini juga dapat menyedarkan ramai Melayu, mengapa kita jangan mudah lupa,” akhirinya.