Kevin Zahri menasihati orang ramai agar mengetahui tahap kesihatan terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk mendapatkan badan berotot.
Perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kavin Zahri menasihatkan individu yang mahu membina otot untuk mendapatkan badan cantik agar mengutamakan kepentingan kesihatan terlebih dahulu.
Kavin, 37, berkata, mereka perlu memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik berbanding kagilaan untuk menumpukan perhatian membina otot semata-mata.
"Banyak pusat fitness di Malaysia hanya menumpukan kepada membina badan berbanding memberi tumpuan kepada kesihatan terlebih dahulu.
"Bagi saya apa yang penting untuk mereka tahu ialah tahap kesihatan diri masing-masing seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tekanan kehidupan dan lain-lain. Manakala untuk dapatkan six-pack adalah untuk kecantikan sahaja," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Kevin ditemui pada sidang media memperkenalkan wajah baharu Astro Bella dan program Jom Kurus Cabaran 30 Hari di Jump Street Asia Trampoline Park, di sini, Isnin.
Kevin dan pelakon Sharifah Sakinah bertindak sebagai pengacara program realiti itu.
Ia bakal bersiaran pada setiap Ahad, pukul 7 malam, bermula pada 5 Oktober depan di Astro Bella (133) dan Astro Mustika HD (134).
Kevin Zahri dan Sharifah Sakinah bakal mengacarakan rancangan Jom Kurus Cabaran 30 Hari siaran Astro Bella.
Kevin turut menasihatkan agar individu yang ingin membina badan agar mendapatkan maklumat tentang produk yang mereka perlukan agar ia tidak memberi kesan sampingan pada kemudian hari.
"Banyak suplimen dan produk-produk yang dijual di pasaran, namun bagi masyarakat yang ingin mengambil mana-mana produk perlu lebih berhati-hati dan pastikan ia selamat.
"Mereka juga perlu tahu kepentingan produk tersebut untuk tubuh badan dan jangan hanya ambil kerana terpengaruh dengan iklan atau orang lain," ujarnya.
Sementara itu, program Jom Kurus Cabaran 30 Hari telah memilih 12 orang peserta wanita untuk mencabar diri masing-masing mengurangkan berat badan dalam masa 30 hari yang ditetapkan.
Peserta-peserta tersebut dipilih berdasarkan tahap ketahanan fizikal dan mental, bacaan BMI melebih 25, memiliki kelebihan personaliti dan sihat tubuh badan.
Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim berkata, para peserta akan terlibat dengan pelbagai aktiviti kecergasan yang menguji kecerdasan mereka.
"Saya percaya di bawah kendalian Kevin Zahri, Sharifah Sakinah dan barisan tenaga pelatih lain, program ini mampu memupuk kesedaran seterusnya menyumbang ke arah pengurangan kadar statistik obesiti di Malaysia," ujarnya.
Juara program tersebut berpeluang memenangi wang tunai sebanyak RM 20,000, sebuah trofi dan hadiah menarik yang lain.
Sementara itu, Astro Bella turut tampil dengan konsep dan wajah baharu serta memperkenalkan empat slot gaya hidup baharu iaitu Suudu, Micasa, Sihat dan Pasport.
Program-program berkonsep masakan, dekorasi, kesihatan dan travelog itu akan bermula pada 1 Oktober depan.
"Rancangan yang disiarkan perlu diperbaharui dari tahun ke tahun untuk memastikan konsep dan imej sesebuah rancangan itu terus segar dan mantap.
"Kami yakin dengan wajah dan imej baharu ini akan menarik lebih ramai penonton wanita terutamanya berumur 25 tahun ke atas," ujar Natasha.