Zamarul Hisham
PERNAH melalui pengalaman bercerai dengan isterinya, Diana Rafar, 33, pada 14 Januari lalu dan kemudiannya kembali rujuk sebulan kemudian, membuatkan Zamarul Hisham berharap kakak iparnya, Linda dan suaminya, Syed Aiman tidak meneruskan kes penceraian mereka.
Mengakui fasa penceraian sangat perit untuk dilalui, Zamarul berkata, dia berharap ada sinar baharu buat pasangan tersebut.
"Sejujurnya, saya enggan masuk campur. Tapi selepas apa yang berlaku di antara saya dan Diana sebelum ini, saya pun tak sempurna.
"Bila timbul cerita ini saya memang terkejut dan tertanya-tanya kenapa,” katanya yang begitu terkejut mengenai kemelut yang melanda rumah tangga Syed Aiman dan Linda Rafar.
Mereka dilaporkan mengalami masalah rumah tangga dan menurut Linda, Syed Aiman telah melafazkan cerai kepadanya, namun perkara itu dinafikan sendiri suaminya itu.
Bagaimanapun, ujar Zamarul, dia tidak merancang untuk menghubungi Syed Aiman mahu pun Linda, namun sedia memberi pendapat dan nasihat sekiranya pasangan itu menghubunginya.
"Kalau boleh biarlah mereka yang membuka mulut terlebih dahulu dan saya tidak mahu memandai-mandai mencampuri urusan mereka.
"Apa pun saya harap mereka dapat mencari jalan menyelesaikan masalah ini dan kalau boleh jangan (cerai).
"Saya pernah lalui, saya tahu macam mana peritnya. Saya berdoa dan harap mereka berbaik semula,” ujarnya.
Dalam pada masa sama, Zamarul memberitahu, dia kini lebih bahagia dan pengalaman lalu banyak memberikan pengajaran buat dirinya.
“Alhamdulillah dan bersyukur hubungan saya dengan Diana makin baik,” jelasnya yang turut sama menjayakan filem Kapsul yang bakal ditayangkan pada 17 September ini.