Neelofa menyifatkan pihak yang menuduhnya menciplak tudung keluaran syarikatnya iaitu NaelofarHijab daripada jenama lain adalah tindakan tidak profesional.
Pelakon Neelofa menyifatkan pihak yang menuduhnya menciplak tudung keluaran syarikatnya iaitu NaelofarHijab daripada jenama lain adalah tindakan tidak profesional.
Neelofa atau nama sebenarnya Nor Neelofa Mohd Noor, 26, berkata, tuduhan pemilik tudung jenama Sugar Scarf itu yang meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial sehingga menjadi viral secara tidak langsung merendahkan maruah dan integriti syarikat dan kredibiliti peribadinya.
"Sebagai salah seorang pengarah serta pengasas NaelofarHijab, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan isu ini.
"Jika benar pihak berkenaan ikhlas ingin mencari penyelesaian, bukanlah dengan memperbesarkan atau menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial kerana ia tidak mendatangkan sebarang manfaat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Neelofa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan seorang wanita yang menjalankan perniagaan tudung jenama Sugar Scarf yang mendakwa NaelofarHijab telah meniru rekaan tudung keluaran syarikatnya.
Kenyataan wanita berkenaan telah menjadi viral di laman sosial termasuk beberapa blog dan portal.
Sementara itu, Neelofa berkata, sekiranya individu itu yakin dia meniru tudung dimaksudkan, pihak berkenaan dinasihati menggunakan khidmat peguam bagi menjelaskan isu tersebut.
“Jika pihak itu merasakan yang mereka mempunyai bukti yang kukuh, adalah digalakkan supaya hal ini dapat dikendalikan secara lebih profesional dan bertindak melalui saluran yang betul dengan meminta peguam mereka menulis secara rasmi atau berhubung terus dengan ‘team’ perundangan syarikat kami.
"Saya telah menyatakan dengan baik, kepada individu tersebut (pengasas Sugar Scarf) apabila beliau menghubungi saya secara peribadi agar terus berhubung dengan peguam syarikat agar perkara ini dapat dileraikan dengan rasional dan lancar.
"Malangnya, cadangan saya itu tidak diendahkan. Pihak itu memilih untuk terus mengeruhkan keadaan di media sosial," ujarnya.
Dalam pada itu, kata Neelofa sekiranya rekaan tersebut sudah dipatenkan, diminta pihak berkenaan mengemukakan bukti.
"Sekiranya produk yang dinyatakan sudah dipatenkan oleh pihak tertentu, sila kemukakan bukti. Setahu kami produk ini belum berpaten atau menjadi hak milik mana-mana syarikat," tegasnya.
Setakat tudung pun korang nak bergaduh pelik tapi benar. Manusia akhir zaman bukan melakukan kerana Allah tapi kerana duit dan nama.