Panggilan haji Rahmad Mega


RAHMAD berkongsi sekeping gambar di laman Instagram miliknya yang memaparkan suasana majlis tahlil bersempena ibadah haji yang akan dilaksanakan bersama isteri tersayang.

PERKHABARAN gembira mengenai seorang lagi anak seni tempatan yang akan terbang ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji esok, menyejukkan hati banyak pihak.

Biarpun dunia hiburan sering dilingkari kisah sensasi berhubung perilaku artis yang adakalanya mencalar imej anak seni, namun masih ramai dalam kalangan selebriti yang tidak pernah mengetepikan tuntutan agama dalam kehidupan.

Bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmat Tohak, 46, bersyukur kerana dibuka pintu hati dan masih diberi rezeki serta umur yang panjang untuk menunaikan Rukun Islam kelima bersama isteri tersayang, Norpaizah Ahmad, 44.

Ujar Rahmad, sudah lama dia merancang untuk mengerjakan ibadah haji. Langkah mendaftarkan nama di Lembaga Tabung Haji sejak sekian lama akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun ini, dia dan isteri akhirnya dipanggil sebagai tetamu Allah ke Mekah.

Dalam kesibukan pelantun lagu Bayangan Gurauan itu melakukan persiapan untuk berangkat esok, Kosmo! sempat bercakap dengan empunya badan di samping berkongsi kisah kerjayanya.


Artis Meletop!: Apa khabar Rahmad? Bagaimana kehidupan sekarang?

Alhamdulillah, kehidupan berjalan seperti biasa. Saya dan keluarga dalam keadaan sihat walafiat.

Bagaimana dengan kerjaya seni anda sebagai penyanyi sekarang?

Saya bersyukur dengan segala rezeki yang dikurniakan oleh-Nya kepada saya, isteri dan anak-anak. Saya akui, dalam usia sebegini, kehadiran saya sebagai penyanyi dalam industri masih boleh diterima oleh masyarakat walaupun tawaran yang diterima tidak semeriah ketika bersama kumpulan Mega suatu ketika dahulu. Namun, saya masih mendapat undangan nyanyian dan pendapatan yang cukup untuk menyara kehidupan sekeluarga. Buat masa ini, saya sedang dalam rangka promosi single kedua saya daripada album Hujan berjudul Tidak Biasa Membencimu.

Selain daripada kerjaya sebagai nyanyian, apa lagi yang anda usahakan untuk menyara kehidupan?

Saya percaya tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan pendapatan saya sebagai penyanyi sahaja. Dengan itu, saya libatkan diri dalam bidang perniagaan iaitu produk Aura 7 Rizqi dan perniagaan bersifat pemasaran produk Water Beauty World. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun pada mulanya bermula secara kecil-kecilan, kini ia sudah membuahkan hasil.

Boleh ceritakan sedikit tentang persediaan untuk menunaikan ibadah haji?

Saya dan isteri akan berangkat ke sana (Tanah Suci) pada 11 September ini (esok). Kami akan berada di sana selama 41 hari. Saya berdebar dan pada masa yang sama berasa sangat bertuah kerana terpilih menjadi tetamu Allah.

Apakah harapan semasa dan selepas menunaikan ibadah haji kelak?

Tiada apa yang saya harapkan selain doa yang baik-baik daripada orang ramai. Doakan perjalanan saya dan isteri diberkati, sekali gus mendapat haji yang mabrur. Selepas mengerjakan haji, saya akan menjalani kehidupan seperti biasa tetapi dengan kesedaran sebagai khalifah Allah yang lebih tinggi. Sebelum ini, saya telah mengerjakan umrah sebanyak lima kali.

Perasaan ingin mengerjakan haji berlainan berbanding ketika umrah. Saya membuat persediaan dari pelbagai segi seperti kewangan dan kerohanian. Selain itu, semestinya saya mengharapkan kehidupan yang lebih sempurna selepas balik daripada ibadah haji nanti. Saya akan cuba yang terbaik. Insya-Allah.

Ada sebarang perancangan tentang kehidupan dan karier selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji nanti?

Sejujurnya, saya ada banyak perancangan. Antaranya, membantu dari segi kutipan dana dalam usaha untuk melakukan pembesaran surau di kawasan berdekatan rumah saya iaitu di Surau Al-Hafiz, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor. Untuk tujuan tersebut, pihak surau memerlukan dana sebanyak RM300,000. Jadi, saya berharap dapat membantu sedikit sebanyak dalam hal itu, di samping mengajak orang ramai mengimarahkan surau dan masjid.

Adakah selepas pulang daripada mengerjakan umrah nanti, anda akan meletakkan tanda noktah dalam kerjaya nyanyian atau menukar haluan muzik?

Saya tidak tahu. Apa yang saya fokuskan sekarang adalah mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan cuba menjadi insan yang lebih berguna kepada agama. Namun, saya tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti saya akan menyanyikan lagu-lagu kerohanian atau bercorak islamik. Insya-Allah.

Previous Post Next Post