Ammar Alfian tak serik?



SEJAK awal penglibatan Ammar Alfian Aziz di dalam bidang seni, ada sahaja kontroversi yang mengikut rapat karier jejaka berusia 28 tahun ini.

Dari kisah kontroversi gambar mesra dengan bekas kekasihnya, pergaduhan dengan wartawan, sehingga ke gambar separuh bogel dan video bercium yang di muat naik di laman Instagram dan yang terbaharu isu gambar bertatu, membuatkan ramai tertanya-tanya, adakah Ammar tidak serik dan hanya gemar mencari publisiti murahan sahaja?

"Saya sedar, ramai yang membenci saya. Jadi apa sahaja yang saya buat akan diperbesarkan dan pasti akan mendapat kritikan, contoh isu saya membuka baju. Ketika awal saya bergambar buka baju, semua kutuk saya. Tapi sekarang, bila ada selebriti lelaki buka baju, ada pula yang puji.

"Malah saya dah lali dengan kritikan serta kutukan yang diterima.

"Sejujurnya saya tidak pernah cuba untuk mencari publisiti. Itu semua tidak penting buat saya," ujar aktor yang mencipta nama menerusi drama Tari Tirana pada tahun 2010.



Jelas Ammar dengan lebih lanjut, dia memuat naik gambarnya yang bertatu kerana hanya mahu menjadi diri sendiri dan tidak mahu bersikap berpura-pura dengan menutup kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Tatu itu dibuat selepas saya berpisah dengan kekasih saya tiga tahun lepas. Tatu itu adalah satu kesilapan dan saya belajar daripada kesilapan.

"Semua orang ada membuat silap dan saya akui itu silap saya. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu kerana saya sudah berubah.

"Saya berkongsi gambar tersebut bukan nak tunjuk tatu itu tapi saya mahu menunjukkan ini adalah diri saya yang sebenar. Memang saya berubah kepada imej baik, namun tidak semestinya saya perlu berubah dengan memakai songkok.

"Sebelum ini saya cuba untuk menyembunyikan tatu tersebut tapi ia buat saya jadi tertekan kerana berpura-pura dengan diri sendiri dan saya tak suka untuk bersikap berpura-pura," katanya.

Berhasrat untuk membuang tatu tersebut, Ammar berkata, dia sudah mengunjungi beberapa klinik bagi mendapatkan maklumat mengenai pembuangan tatu, namun ke semua tempat memaklumkan pembuangan tatu akan meninggalkan kesan parut.

Dek kerana itu, ada yang menyarankannya pergi ke Amerika Syarikat kerana di sana proses laser yang dilakukan tidak sakit dan tidak akan meninggalkan kesan parut.

"Saya memang ada perancangan tetapi saya perlu mengambil masa memandangkan kosnya tinggi. Jadi proses ini akan mengambil masa," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kontroversi video ciumnya bersama seorang wanita baru-baru ini, Ammar berkata, dia memohon maaf atas ketelanjurannya itu dan sudah memadam video tersebut dari akaun Instagramnya.

“Wanita itu bukan teman wanita saya dan kami baru sahaja kenal sewaktu saya bercuti di Pulau Tioman. Saya minta maaf untuk perkara itu dan saya sedar saya dah melampaui batas," ujarnya.


Masih aktif

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Ammar berkata, dia masih aktif di dalam bidang seni, namun dek kerana tidak mendapat publisiti daripada media, maka ramai menganggap dia kini tidak lagi aktif di dalam bidang seni.

"Saya masih aktif berlakon, tetapi jarang muncul di media massa. Jadi orang ingat saya tidak aktif lagi.

"Alhamdulillah drama lakonan saya, Puteri Gunung Ledang antara drama yang tercalon untuk Anugerah Skrin 2015.

"Kami sudah lakukan yang terbaik dan saya tidak mengharap untuk memenangi sebarang anugerah. Apa yang penting, saya mahu menyokong semua orang di dalam industri," katanya.
Meminta untuk diberi peluang, Ammar berkata, dia berharap masyarakat melihat bakatnya dan bukannya perihal peribadi.

Ujarnya, dia tidak kisah andai dikritik berkaitan karier lakonannya, namun mengaku sedikit kesal apabila orang luar lebih suka mengambil tahu hal peribadinya.

"Kalau boleh janganlah campur urusan kerja dengan urusan peribadi. Saya masuk dalam industri ini kerana saya terlalu minat dengan bidang lakonan dan mahu tunjuk bakat saya.

Kalau orang nak kutuk pasal lakonan saya, lagi bagus. Tapi saya lihat orang lebih seronok dengan kisah peribadi saya daripada bakat saya, jadi ia membuatkan saya rasa nak mengalah," kata Ammar mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post