Fasa perubahan Nabil Ahmad


SEJAK dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT, perjalanan hidup pelakon, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad bagaikan melalui satu transformasi baharu.

Sebelum ini, tidak dinafikan Nabil seorang yang agak nakal tetapi selepas menunaikan umrah pada Ramadan lalu dan kini bergelar ‘Pak Haji’ keadaan itu telah berubah sedikit demi sedikit.

Kata artis berusia 32 tahun itu, situasi tersebut berlaku disebabkan faktor usianya selain status dirinya sebagai ketua keluarga.

“Sememangnya, dalam proses kehidupan, kita banyak sekali membuat kesilapan.

“Tetapi, ke manakah kita selepas itu? Adakah kita akan terus membuat kesilapan atau kita sendiri mencuba untuk mencari jalan sekali gus memperbetulkannya,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Zikir Perdana, baru-baru ini.

Jelas pelakon filem Sifu & Tongga ini, ibu bapanya adalah individu yang paling gembira sekali dengan penghijrahan dirinya.

“Keluarga terutamanya emak saya, gembira melihat perubahan diri saya. Dia memang mahu melihat saya berubah ke arah lebih baik.

“Malah, dia lebih tahu bagaimana keadaan diri saya sebelum dan selepas berkahwin. Saya pernah beritahu pada emak, saya berniat menghantarnya dan ayah serta kedua ibu bapa mentua mengerjakan haji dan dia sangat bersyukur.

“Insya-ALLAH, jika ada rezeki saya akan hantar mereka menunaikan haji pada tahun depan,” katanya.


Tambahnya, dia pernah melalui fasa perubahan seperti ini sebelum menyertai program realiti, Raja Lawak musim kedua, namun keadaan itu tidak bertahan lama lantaran dirinya semakin alpa dengan kemegahan dunia.

“Ketika itu, saya pernah berhasrat untuk meneruskan pengajian di sekolah pondok, tetapi niat itu terpaksa dibatalkan kerana ketika itu saya perlu membantu keluarga.

“Apa yang saya lakukan adalah dengan belajar sendiri tetapi lama-kelamaan saya semakin lalai dengan tanggungjawab kerana terpengaruh dengan godaan duniawi,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil berharap agar perubahan dirinya mendapat sokongan dan doa yang baik daripada semua pihak.

“Saya tidak akan pernah berputus asa untuk menjadi yang terbaik. Malah, saya kini sedang mengikuti kelas agama pada setiap Sabtu.

“Bahkan, jika dulu saya boleh melayan cerita-cerita komedi di You Tube selama berjam-jam lamanya, kini tumpuan saya beralih kepada bacaan-bacaan ilmiah berkaitan bidang agama.

“Saya cuba dan belajar sedikit demi sedikit bagi memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dan berguna,” katanya.

Pada masa sama, pelakon filem Magika ini turut mendapat undangan beberapa masjid bagi berkongsi kisah perjalanan hidupnya.

“Kadang-kala, saya disuruh menjadi panel dan kedatangan saya secara tidak langsung dapat menarik golongan muda untuk ke masjid,” katanya yang segan jika digelar sebagai Haji Nabil.

Rasa terlalu berdosa

Sebagai manusia biasa, tidak lepas daripada melakukan kesalahan. Begitu juga dengan pelakon filem Romeo Kota ini.

Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie ini juga meluahkan rasa bersalahnya kerana secara tidak sengaja mempersendakan kekurangan Caliph Buskers ketika mengacarakan Konsert Gegar Vaganza 2 pada 18 Oktober lalu.

Akibat daripada tindakan itu, pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad ini menerima kritikan daripada orang ramai.

Bagaimanapun, Nabil telah pun membuat permohonan maaf secara langsung kepada kumpulan itu menerusi rancangan Meletop.

“Saya minta maaf bukan kerana kritikan itu sebaliknya saya merasakan benda (ketelanjuran kata) itu memang salah dan sangat keterlaluan.

“Sebenarnya, saya tidak peduli dengan ‘cakap-cakap orang’ tetapi saya berasa terlalu berdosa dan tidak sepatutnya terlepas cakap sedemikian rupa,” katanya.

Enggan lagi mengulangi perkara sama, Nabil turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat lawak selepas ini.

“Saya memang akan lebih berjaga-jaga dengan lawak-lawak yang menyentuh atau mempermainkan orang lain kerana mereka juga ada perasaan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Nabil akan menerima tawaran pengacaraan yang lebih bersifat keagamaan seperti Pencetus Ummah selepas ini, jawab Nabil:

“Untuk menjadi seorang pengacara biarlah ia hadir dengan pengetahuan dan tidak melakukannya secara terburu-buru.

“Buat masa ini, saya belum bersedia untuk mengacarakan program seperti itu kerana ia agak sukar tambahan pula saya masih lagi dalam proses pembelajaran.

“Tetapi, sekiranya saya sudah bersedia ke arah itu, mungkin saya akan meninggalkan dunia hiburan secara perlahan-lahan kerana saya tidak mahu bersikap hipokrit,” katanya.

Previous Post Next Post