SUPER Spontan All Stars 2015 menyaksikan persaingan sengit antara barisan pelawak tanah air.
SEMBILAN minggu bertarung, akhirnya program Super Spontan All Stars 2015 sampai ke penghujungnya apabila bakal menutup tirai pada malam ini bertempat di Dewan Raja Muda, Shah Alam, Selangor.
Johan, Zizan, Tauke, Achey, Yus dan Rahim akan berentap di pentas akhir selepas minggu lalu, Along Cham terpaksa disingkirkan setelah mendapat undian terendah daripada penonton.
Apa yang menarik, malam ini bakal menyaksikan pertembungan dua pelawak popular, Johan dan Zizan di atas satu pentas yang sama buat julung-julung kalinya.
Menurut penerbitnya, Afdlin Shauki, Super Spontan tahun ini begitu istimewa kerana ia mengumpulkan nama-nama besar dalam industri komedi tanah air dan juga selebriti yang tidak langsung mempunyai latar belakang komedi.
“Super Spontan sudah memasuki musim keempat dan saya berasa sangat seronok kerana semua peserta menunjukkan komitmen serta prestasi yang sangat bagus. Pada satu tahap, saya rasa tidak adil untuk ada penyingkiran setiap minggu.
“Untuk final saya mengharapkan semua peserta bersedia daripada segi mental dan fizikal serta juara yang bakal dinobatkan sememangnya layak untuk menyandang gelaran tersebut,” ujarnya yang turut bertindak sebagai pengulas bersama Haniff dan Ray dalam program itu.
Menurutnya lagi, dia tidak menafikan ramai yang menantikan pertembungan di antara Johan dan Zizan sebagai calon kegemaran untuk merangkul gelaran juara.
“Sejujurnya, bagi saya semua peserta mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri untuk bergelar juara walaupun Johan dan Zizan dilihat mempunyai kelebihan dari segi undian kerana mereka mempunyai peminat yang ramai,” katanya.
Sementara itu, Johan memberitahu bahawa dia tidak mengharapkan sebarang kemenangan pada malam final kerana baginya apa yang lebih penting adalah menunjukkan persembahan yang baik.
“Saya tidak kisah pun siapa menang, siapa kalah. Apa yang penting adalah melakukan yang terbaik untuk tatapan penonton. Selain itu, secara peribadi Super Spontan mengajar saya untuk lebih menghargai persahabatan dengan rakan-rakan yang berkecimpung dalam industri seni kerana saya berasa seronok dapat terlibat sama dalam program ini,” ujarnya.
Ditanya soal pesaing terdekatnya dalam program tersebut, Johan mengatakan semua peserta mempunyai peluang yang sama rata untuk menjadi juara.
“Bagi saya, dari segi undian mungkin Zizan mempunyai kelebihan kerana dia mempunyai peminat yang ramai.
“Bagaimanapun, saya juga melihat Tauke sebagai salah seorang peserta yang bakal memberikan saingan sengit kerana dia sentiasa mempunyai idea yang kreatif ketika beraksi di atas pentas,” tutur Johan yang juga merupakan juara Super Spontan musim lalu.
Jika sebelum ini selama sembilan minggu peserta diadili secara berpasukan iaitu kumpulan Kungfu Kipidap dan Silat Dongibab, malam final bakal menyaksikan peserta bergerak dan diadili secara individu.
Final Super Spontan All Stars 2015 akan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) pada pukul 10 malam ini.