![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjo35l_Jd5rb5wq7SiOgF0exCRvPDfX3mZbvWr1jmh6QeCyJZSaRJPIY-8STU1yE7sPP9gilpbM4mHBdL4og1EIM-YtqGtt-joQWjjXLBXb-13KRhItt6helqtRkEFmcQqXHfjPHInVN1E/s1600/Faizal+Tahir.jpg)
KEMUNCULAN semula penyanyi Faizal Tahir mempertaruhkan single Assalamualaikum awal tahun lalu nyata berhasil apabila karya ciptaannya itu berjaya meraih ‘Lagu Terbaik Serantau’ dan ‘Lagu Terbaik Malaysia’ menerusi Anugerah Planet Muzik 2015 Oktober lalu.
Tidak dinafikan bakat dan kemampuannya tidak pernah mengecewakan apabila setiap lagu yang dihasilkan tidak pernah mengecewakan malah sering menjadi pilihan pendengar.
Setelah hampir setahun, kini penyanyi dan juga komposer hebat ini muncul dengan single terbaharunya Sayang hasil ciptaannya sendiri bersama komposer Mike Chan. Apa yang istimewanya mengenai single ini adalah ia dihasilkan khas untuk anak-anaknya.
Dikatakan, lagu ini juga diinspirasikan dari insiden yang berlaku kepada salah seorang puterinya yang dimasukkan ke hospital kerana demam virus.
“Saya menulis lagu ini beberapa bulan lepas dan ideanya tercetus apabila anak perempuan saya dimasukkan ke hospital kerana demam virus.
“Ketika itu hati saya sangat pilu bila melihat dia menangis kerana sakit. Saya hanya mampu untuk beritahu dia supaya menjadi lebih kuat sambil memujuknya untuk tidur.
“Pengalaman inilah yang memberi inspirasi saya untuk menulis Sayang,” jelasnya.
Faizal pada mulanya tiada perancangan untuk melancarkan ‘Sayang’ sebagai single yang seterusnya, tetapi dalam pembikinan ‘Sayang’, isteri kesayangannya telah melahirkan anak mereka yang ke-6, iaitu Khalid Al-Walid.
Pada ketika itulah Faizal menyedari bahawa inilah masa yang tepat untuk melancarkan single tersebut untuk berkongsi perasaan terharu dan bersyukur terhadap rezeki yang kurniakan kepadanya.
Single terbaru yang bertajuk ‘Sayang’ oleh Faizal Tahir ini benar-benar mampu mengubat rindu para peminat yang sememangnya rindukan vokal mendayu-dayu beliau dalam menyampaikan lagu balada selepas lagu ‘Selamat Malam’.
Ternyata ‘Sayang’ ini adalah sebuah lagu balada yang membawa seribu satu makna buat Faizal. Dari sudut susunan lagu, ianya amat kemas dan juga penulisan lirik bagi lagu ini amat mendalam, dan jika dihayati ianya membawa kepada penceritaan di dalam sebuah perhubungan di antara seorang bapa dan anaknya.
Lirik lagu ‘Sayang’ amat memberi satu kesan yang bermakna buat Faizal dan sedikit sebanyak lagu ‘Sayang’ ini juga mengisahkan mengenai kehidupan Faizal sepanjang beliau bergelar sebagai seorang artis dan juga bapa.