Kau Yang Satu, Firman tidak berkecil hati



SELEPAS muncul dengan dua single Di Pintumu ciptaan Datuk M. Nasir dan Paling karya dari Edry Abdul Halim, anak kelahiran Sabah ini tampil dengan album penuh, Kau Yang Satu.

Menampilkan enam buah lagu, album ini turut mendapat sentuhan komposer hebat yang lain seperti Audi Mok, Omar K, Ezra Kong, Nazri Alfarabiband dan Dark.

Bersyukur apa yang dirancang berjalan dengan lancar, Firman Bansir memberitahu dia berpuas hati dengan keseluruhan pembikinan album tersebut.

“Saya cukup teruja dengan kelahiran album ini dan saya anggap ia sebagai hadiah dari pihak Astro kepada saya dan juga peminat yang sudah lama menantikannya.

“Saya sangat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar biarpun pada akhirnya kami mengalami sedikit masalah dengan kulit album,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Kau Yang Satu baru-baru ini.


Sementara itu, Firman akui kelewatan album tersebut mungkin menyukarkan dirinya untuk menarik semula perhatian peminat namun menganggapnya sebagai satu perjalanan seni yang perlu ditempuhinya.

“Itu adalah realiti dan saya tidak boleh menafikannya. Apa yang paling penting sekarang ini saya cuma perlu berusaha sebab saya tahu rezeki ada di mana-mana.

“Saya perlu mantapkan lagi karier dengan cari dan hasilkan material yang lebih baik dan Alhamdulillah, hari ini saya berjaya lancarkan album pertama saya walaupun terpaksa ambil masa yang agak lama.

“Saya tidak mahu berkecil hati dengan mana-mana artis di bawah pengurusan yang sama kerana itu semua adalah perancangan daripada pihak Astro sendiri apa yang perlu saya lakukan, adalah cari jalan untuk terus kekal dalam industri ini,” katanya tenang.

Lagu untuk ibu

Pada masa sama, Firhan mengakui album sulungnya ini begitu istimewa buat dirinya kerana satu lagu ciptaannya ‘Kau Yang Satu’ ditulis khas buat ibu tercintanya, Painah Tanbanan , 57.

Menurutnya, lagu ini mula dihasilkan sejak dirinya masih bergelar pelajar AF 2014 lagi.

“Ketika itu, saya ditanya oleh pengetua sama ada boleh mencipta lagu sendiri atau tidak, tapi saya tidak rasa itu masa yang sesuai untuk saya tampilkannya.

“Ini kerana saya mahu bekerjasama dengan komposer lain untuk menyanyikan lagu mereka di samping belajar selok belok untuk menghasilkan lagu yang baik sehinggalah saya buat keputusan untuk menyiapkan lagu tersebut selepas tamat AF.

“Kau Yang Satu memang saya cipta khas buat ibu, di mana saya mahu berkongsi perasaan berjauhan dengannya ketika berada dalam akademi.

“Saya mengaku, saya bukanlah anak yang baik dan saya juga sudah biasa berjauhan. Tapi bila dalam akademi, saya melihat teman-teman lain yang rindukan ibu mereka, dan sejak itu barulah saya faham bagaimana perasaan bila berjauhan dengan ibu,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post