Ruhainies Tidak Kecewa Lakonan Dilabel Kayu


Ruhainies tidak kecewa apabila lakonannya dalam drama bersiri Hello Mr Perfect dikritik peminat.

Pelakon baharu Ruhainies tidak kecewa apabila lakonannya dalam drama bersiri Hello Mr Perfect dilabel sebagai 'kayu' dilaman sosial.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 23, berkata, dia melihat kritikan tersebut sebagai pemangkin semangatnya untuk terus memperbaiki mutu persembahannya memandangkan dia masih baharu dalam bidang lakonan.

"Pada awalnya memang saya terasa hati juga kerana telah memberikan yang terbaik menerusi drama tersebut namun apabila difikirkan kembali kritikan tersebut baik untuk saya.

"Ini kerana saya masih baharu dalam bidang lakonan dan sudah tentu banyak lagi ruang yang perlu saya perbaiki pada masa hadapan," katanya.

Ruhainies berkata demikian ketika ditemui pada tayangan episod terakhir drama tersebut bersama peminat di KL Sentral di sini, Selasa lalu.



Ruhainies bergandingan dengan Fattah Amin dalam drama bersiri Hello Mr Perfecrt.

Seramai 100 peminat hadir pada acara berkenaan termasuk pelakon utamanya Fattah Amin.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata, Fattah banyak memberinya nasihat agar tidak mudah melatah dan bersabar dengan kritikan diberikan kepadanya.

Jelasnya lagi, teguran itu adalah bukti dia mula mendapat perhatian peminat yang mahu melihatnya beraksi lebih baik pada masa hadapan.

"Fattah sendiri pernah dikritik hebat ketika di awal kemunculannya sebagai pelakon jadi dia faham apa yang saya lalui.

"Dia banyak nasihat saya agar bersabar dan sentiasa memperbaiki diri kerana peminat mula memberikan perhatian kepada saya," jelasnya.


Lebih 100 peminat hadir pada acara berkenaan.

Sementara itu, Ruhainies berkata, dia tidak bimbang kritikan tersebut akan memberi kesan kepada kerjayanya kerana yakin pihak produksi memahami situasi yang dialami pelakon baharu sepertinya.

Malah kata Ruhainies, dia bakal memasuki set penggambaran sebuah drama berjudul Potret Adik yang akan disiarkan menerusi slot Cerekarama di TV3.

"Alhamdulillah walaupun masih baharu tetapi masih diberi peluang untuk memegang watak utama dalam drama terbaharu itu dan ia bukti kritikan itu tidak menjejaskan kerjaya dan berlaku sebaliknya.

"Pun begitu saya tidak boleh berasa selesa kerana ini adalah peluang saya untuk terus belajar memperbaiki diri agar dapat menjadi pelakon lebih baik," katanya.

Previous Post Next Post