Syatilla Melvin ingin jadi wanita Islam sempurna.
Pelakon Syatilla Melvin memberitahu keputusannya bertudung sejak dua minggu lalu bukan kerana sudah mempunyai perancangan untuk berumah tangga.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, berkata, penghijrahannya itu atas kehendak diri sendiri selepas merasakan sudah sampai masanya berubah menjadi wanita Islam yang sempurna.
"Saya tahu orang akan bertanya dan menganggap keputusan bertudung ini kerana ada perancangan untuk berkahwin, namun saya jelaskan di sini ia bukan sebab itu.
"Ia bukan atas desakan mana-mana pihak, niat itu datang dari hati saya ketika berada di kampung dua minggu lalu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Syatilla yang dikaitkan bercinta dengan Shaheizy Sam berkata, pelakon lelaki itu turut mengetahui tentang hal tersebut.
"Sam sudah tentulah tahu sebab saya sudah muat naik gambar di Instagram, dia ok sahaja.
"Tentang memasuki alam rumah tangga, saya memang sudah bersedia, namun jodoh sahaja belum sampai, saya masih berdoa dipercepatkan jodoh," ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang penghijrahan tersebut, Syatilla berkata, perkara itu terjadi ketika melihat dirinya di hadapan cermin.
Katanya, dia berasa dirinya tidak sempurna berbanding adik-adiknya yang sudah bertudung.
"Saya melihat diri saya di hadapan cermin dan ketika itu saya fikir seperti ada kekurangannya dan bila adik-adik saya masuk ke dalam bilik, saya lihat penampilan mereka sempurna dengan bertudung.
"Sejak itu saya mengambil tudung dan terus memakainya hingga hari ini, memang ketika itu ahli keluarga lain terperanjat dengan perubahan saya secara tiba-tiba itu," ujarnya
Sementara itu, bercakap tentang kerjaya, Syatilla berkata, dia mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran drama yang menginginkan penampilan lamanya.
Bagaimanapun, dia yakin dan percaya terhadap rezeki yang sudah ditentukan Allah kepadanya.
"Saya sedar bila bertudung lebih membataskan watak dalam drama, namun saya percaya pada rezeki daripada Allah, jika tidak di bidang lakonan mungkin ada pada sumber yang lain," ujarnya.