Ziana Zain: Saya Tidak Cerewet



TIDAK hanya bergantung kepada karier nyanyian semata-mata, penyanyi diva, Ziana Zain bersyukur di kala usianya menginjak 47 tahun, rezekinya semakin melimpah ruah.

Pelantun Madah Berhelah ini mengakui sering menerima tawaran memperagakan fesyen pereka tempatan.

Paling sinonim, rekaan Rizman Ruzaini menjadi pilihan Ziana sehingga dikatakan meminggir pereka fesyen yang lain.

Menafikan dakwaan pilih bulu, Ziana sebenarnya tidak seperti yang dihebohkan malah, mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang berhasrat memilihnya untuk memperagakan rekaan masing-masing.

“Saya sedar ramai yang anggap saya hanya memilih Rizman Ruzaini, tapi sebenarnya saya tidak kisah siapa pun yang mahu bekerjasama dengan saya.

“Ramai juga yang menghubungi bertanya sama ada saya mahu memakai rekaan mereka dan saya sebenarnya tidak kisah asalkan rekaan mereka cantik.


“Mereka tidak perlu takut untuk menawarkan kepada saya kerana saya jenis yang tidak cerewet walaupun kain yang digunakan hanya RM4. Asalkan cantik, saya akan pakai.

“Saya lihat ramai anak-anak muda lepasan universiti yang berbakat dalam bidang ini dan kalau boleh saya juga mahu membantu mereka asalkan kedua pihak dapat manfaatnya,” katanya bersungguh.

Selain sibuk dalam karier seni, Ziana kini juga terlibat dengan kolaborasi bersama jenama Zatu Emerald menghasilkan 12 koleksi pilihan busana yang diberi nama Zayyen.

“Zayyen adalah kolaborasi rekaan idea saya dan rekaan Zatu Emerald yang mana sesuai digayakan oleh semua wanita mengikut cita rasa dan imej masing-masing.

“Sepanjang kerjasama ini, banyak juga yang saya belajar terutamanya dalam pemilihan fabrik. Boleh dikatakan ini sebagai permulaan saya untuk melaksanakan jenama sendiri pada masa akan datang.

Perkembangan lain. Ziana bakal terlibat dengan program baharu terbitan Astro berjudul, Seiras Seirama. Yang merupakan pertandingan meniru gaya dan nyanyiannya.

Previous Post Next Post