Akim mahu kahwin sederhana, elak tajaan


AKIM cuba mengelak majlis perkahwinannya dengan Stacy pada Februari nanti meriah dengan tajaan daripada pelbagai pihak, pada masa sama dia juga tidak mahu hari bahagianya nanti berlangsung dalam suasana yang terlalu biasa.

UMUM mengetahui bahawa pasangan kekasih Akim dan Stacy bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari tahun depan. Pasangan itu telah pun mengikat tali pertunangan pada 26 September lalu secara tertutup.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, bagaimanapun masih berahsia mengenai tarikh rasmi majlis perkahwinannya dengan Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25.

Ditemui media pada sesi ramah mesra Mentor Milenia di Sri Pentas TV3 baru-baru ini, Akim sempat bercerita lanjut.

Mengakui teruja untuk bertukar status, daripada bujang kepada suami orang tidak lama lagi, Akim menganggap perhubungannya dengan Stacy sebagai perangsang positif untuk menjadikannya individu yang lebih baik pada masa depan.

Bukan itu sahaja, cinta yang disemai dengan penyanyi Not For Sale itu memberi inspirasi kepadanya untuk fokus dalam berkarya meneruskan karier dalam industri seni.


Artis Meletop!: Bagaimana persiapan menjelang hari bahagia yang dijadualkan bakal berlangsung bulan Februari tahun depan?

Akim: Alhamdulillah, setakat ini semuanya berada dalam keadaan lancar. Pihak saya dan Stacy masih belum berbincang secara terperinci tentang majlis yang akan dilangsungkan. Yang pasti dua buah majlis akan diadakan iaitu di sebelah lelaki di Johor dan wanita (Sabah). Insya-Allah akan ada sebuah majlis di Kuala Lumpur. Saya ada juga menyumbang idea tentang konsep majlis, tetapi biarlah ia tidak diperincikan kerana masih terlalu awal.

Anda pernah membuat kenyataan untuk tidak terlalu bermegah-megah dengan tajaan perkahwinan dengan Stacy tidak lama lagi, adakah anda masih berpegang dengan prinsip itu atau bagaimana?

Ya, saya tidak mahu perkahwinan kami nampak terlalu gah dengan tajaan. Saya juga tidak mahu ia berlangsung terlalu biasa. Apa yang diharapkan adalah segalanya berada dalam keadaan sederhana. Saya mahu elakkan pembaziran. Insya-Allah.

Tidak lama lagi anda bakal menamatkan zaman bujang sekaligus bergelar suami kepada Stacy, sudahkah anda bersedia?

Setelah bermacam dugaan kami tempuhi, saya bersyukur kerana akhirnya kami akan disatukan sebagai suami dan isteri yang sah. Insya-Allah. Selepas ini, saya harus membahagikan masa dengan lebih baik kerana saya akan bertukar status. Saya akan menjadi suami dan imam kepadanya. Fokus saya mungkin lebih kepada isteri dan masa depan rumah tangga kami.

Bagaimana pula dengan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak angkat Stacy iaitu Bella Valentina yang bakal digalas nanti?

Sebenarnya, saya selalu menghabiskan masa dengan Bella dan kami sangat rapat. Tiada rasa kekok atau janggal apabila memperisterikan Stacy nanti dengan kehadiran Bella dan saya akan menjaganya seperti anak sendiri. Insya-Allah.

Difahamkan anda sekarang sedang merancang untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, boleh ceritakan sedikit?

Saya sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk penjagaan diri. Jika ada yang perasan, kulit saya sekarang semakin cerah dan sekata (ketawa) kerana saya adalah testimoni produk yang akan saya lancarkan tidak lama lagi. Buat masa sekarang, ia masih dalam perbincangan dan kajian.

Boleh ceritakan sedikit tentang peranan anda sebagai mentor dalam program realiti Mentor Milenia nanti?

Saya mencari tiga orang protege yang mempunyai karektor suara tersendiri dan penampilan yang menarik. Calonnya tidak kira lelaki atau wanita, jika mereka berbakat dan mempunyai penampilan dan imej yang menarik, mereka boleh datang ke uji bakat pada 20 Disember nanti di Studio 2, Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Memandangkan anda akan berkahwin pada Februari dan Mentor Milenia juga akan berlangsung selama tiga bulan, adakah anda yakin dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap program tersebut?

Ya, saya akui tentang perkara itu. Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai mentor sebaik mungkin. Sebenarnya ia sebuah cabaran besar, terutama dalam soal membahagikan masa dengan baik. Mujur Stacy juga menyokong niat saya untuk turut serta dalam program ini.

Baiklah, beralih soal perkembangan seni, apa yang terbaharu?

Single ketiga daripada album Patriot berjudul Obses mula dimainkan di corong radio. Saya difahamkan tontonan video muzik lagu Potret juga sudah mencecah 10 juta di YouTube. Itu satu kebanggaan buat Akim & The Majistret. Selain ini, kami sedang dalam proses mencipta dan menulis lagu untuk Stacy berjudul Romeo. Ia sebuah lagu rancak.

Previous Post Next Post