Jaclyn Victor & Suami Enggan Anak Dibesarkan Di AS


Jaclyn bakal terlibat dalam Festival #Kamibersamamu yang akan diadakan di Alamanda, Putrajaya pada 19 Disember ini.

Suami kepada penyanyi Jaclyn Victor iaitu Shawn Rivera mahu melihat anak mereka membesar di negara kerana bimbang budaya di Amerika Syarikat akan merosakkan anak itu.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 37, berkata, faktor budaya di negara ini menjadi pendorong utama suaminya itu tidak berhasrat untuk membesarkan anak mereka di negara berkenaan.

"Shawn sangat tertarik dengan rakyat Malaysia yang masih berpegang kuat kepada budaya dan nilai murni berbanding di negara asalnya yang lebih bersifat terbuka.

"Atas sebab itu juga suami saya mahu terus menetap di Malaysia dan membesarkan anak kami di negara ini," katanya kepada mStar Online.

Jaclyn ditemui pada sidang media Festival #Kamibersamamu di Sri Pentas di sini pada Rabu.

Penyanyi lagu Gemilang itu selamat melahirkan bayi sulungnya yang diberi nama Jonah Joshiah Rivera pada 24 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Jaclyn berkata, sebagai seorang ibu dia tidak mahu membesarkan anaknya dengan kemewahan dan ingin mendidik Jonah menjadi seorang anak yang berdikari.



Jaclyn bersama anaknya, Jonah yang kini berusia tiga bulan.

Jelas Jaclyn, dia sendiri dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan kerana itu juga dia lebih menghargai kehidupan dan berusaha keras dalam mengecap kejayaan.

"Saya tidak mahu manjakan dia dengan menyediakan segala-galanya apa yang dia inginkan kerana itu hanya akan merosakkan dirinya di kemudian hari.

"Malah suami juga bersetuju dengan perkara itu dan berharap dia dapat membesar menjadi seorang yang berdikari dan rendah diri," ujarnya.

Sementara itu, Jaclyn berkata, dia bersyukur kerana Shawn seorang yang ringan tulang menjaga anak mereka sekiranya dia mempunyai undangan nyanyian.

Kata Jaclyn, mereka suami isteri sepakat untuk tidak mengambil pembantu rumah bagi membantu menguruskan Jonah dan mahu melihat Jonah membesar di hadapan mata mereka.

"Sepanjang hidup saya tidak pernah ada pembantu rumah dan selesa melakukan semua perkara sendiri.


Jaclyn dan suaminya Shawn.

"Shawn pula seorang yang ringan tulang membantu terutamanya berkaitan anak kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai Festival #Kamibersamamu, Jaclyn teruja dapat bersama-sama menyertai acara berkenaan sebagai salah satu sumbangan kepada masyarakat.

Selain bakal membuka gerai jualan dan melelong barangan peribadinya, Jaclyn juga akan mendendangkan lagu tema Bersamamu berjudul Wajah pada Festival berkenaan.

"Seperti saya katakan tadi, saya pernah hidup susah dan faham perasaan golongan yang serba kekurangan selain ingin melakukan sesuatu kepada masyarakat.

"Ia bukan sahaja mengenai sumbangan kita kepada golongan ini tetapi juga dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat," katanya.

Festival #Kamibersamamu akan diadakan pada 19 Disember ini di Esplanade, Alamanda, Putrajaya bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Previous Post Next Post