DJ Lynn Jalin Hubungan Cinta Dengan Peminat


DJ Lynn mengakui sedang bercinta dengan peminat setianya.

Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lynn mendedahkan dia kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang ahli perniagaan sejak sebulan lalu.

Lynn, 40, berkata, lelaki berkenaan merupakan peminat setia segmen kendaliannya iaitu Suria Cinta dan hubungan mereka mula intim selepas beberapa kali bertemu.

"Dia seorang peminat saya dan kami mula berjumpa di sebuah majlis.

"Selepas beberapa kali berjumpa, hati saya mula terbuka untuk rapat dengannya selepas melihat ketulusan dan kesungguhannya berkawan dengan saya," katanya.

Lynn ditemui pada majlis pelancaran Eh Eh Bazaar di Restoran Hadramawt, di sini pada Khamis.


Bagaimanapun kata Lynn, masih terlalu awal untuknya mengulas lebih lanjut mengenai perhubungan itu memandangkan masing-masing masih mengenali hati budi dengan lebih mendalam pada waktu ini.

Namun, Lynn mengakui dia kini cukup bahagia dan gembira sejak mengenali lelaki itu lebih-lebih lagi mempunyai ciri-ciri lelaki idaman yang diinginkan.

"Saya seorang wanita yang mudah tersentuh dan sensitif, tetapi dia pandai mengambil hati saya semula.

"Tambah pula dia seorang lelaki yang prihatin dan budiman. Bukan senang nak cari lelaki sepertinya pada zaman ini," ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang anak yang melalui pelbagai pengalaman pahit dan getir, dia tetap berhati-hati dan menyiasat latar belakang lelaki tersebut.

"Sudah semestinya saya berhati-hati dalam memilih pasangan.

"Cuma harap perhubungan ini menjadi. Dan saya rancang untuk berkahwin pada tahun ini sekiranya diizinkan Allah," tuturnya.

Previous Post Next Post