Aznil Curi Perhatian Giuliana Rancic Dapat Ditonton Di E!


Aznil (kanan) dan Giuliana Rancic.

Buat kali kedua pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi dipilih untuk menjayakan program berbentuk hiburan, E! selepas rancangan Aznil LA Selfie yang disiarkan pada tahun lalu mendapat sambutan baik penonton.

Rentetan kejayaan itu, E! Sekali lagi melamar pengacara tersohor ini untuk 30 minit tayangan istimewa program Pak Nil Goes To Hollywood yang memperlihatkan bagaimana dia berkongsi pengalaman sebagai wakil media mendekati selebriti bertaraf antarabangsa dengan cara tersendiri.

Aznil, 54, berkata, beliau amat terharu dan bersyukur atas pemilihannya kali ini biarpun masih ramai wajah baru yang disifatkan berpotensi untuk diketengahkan oleh produksi E! Di Malaysia.



Dari kiri Hunny Madu, Fazura, Aznil dan Didie Alias.

"Alhamdulillah, sudah tentu saya rasa bersyukur dan teruja kerana pada usia sekarang masih diberi kepercayaan untuk program ini. Ia merupakan siri kedua saya bersama E! di mana sebelum ini saya pernah menjayakan rancangan Aznil LA Selfies dan rancangan itu mendapat maklum balas baik penonton.

"PakNil Goes To Hollywood adalah satu program yang memerlukan saya bertindak sebagai wakil media dari Malaysia, mendekati dan menemubual secara eksklusif personaliti fesyen dan hos program E! Hollywood iaitu Giuliana Rancic," kata Aznil pada sidang medianya di Astro di sini pada Khamis.

Tambah Aznil, lapan minit diberi peluang menemubual Giuliana Rancic, beliau ada cara tersendiri untuk menarik perhatian personaliti itu agar tidak dilihat klise dengan mana-mana wakil media dari negara lain.

"Nampaknya usaha saya menyediakan sebuah mini Ipad dan meminta beliau memberi komen beberapa gambar selebriti kita yang sedang melaram di karpet merah berjaya menarik perhatian beliau. Lebih menyeronokkan, proses temubual kami berjalan dalam suasana yang cukup santai dan menghiburkan.

"Saya sertakan 18 keping gambar namun atas faktor masa yang terlalu singkat, beliau hanya sempat memberi komen pada lapan gambar sahaja dan antara selebriti bertuah ini ialah Fazura, Diddie Alias, Hunny Madu, pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari dan Juliana Evans," katanya.

E!'s PakNil Goes To Hollywood akan disiarkan pada 14 Mac depan pukul 10 malam di saluran 712, Astro.

Pada Khamis malam (malam ini) Aznil sekali lagi akan berangkat selama 10 hari ke Hollywood untuk menghadiri majlis penganugerahan Oscar yang ke-88.

Previous Post Next Post