Kayu ukur watak, kredibiliti Nabila Huda


BUTIR peluh jantan terbit membasahi dahi dan telekung berwarna hitam yang disarungkan oleh Maria. Matanya yang bundar dijegilkan buntang, memandang tepat ke arah Ustaz Adam yang tegak berdiri di satu sudut di bahagian belakang biliknya. Sesekali, tangannya yang mengerekot dihentak ke atas lantai, tanda protes terhadap lelaki berkopiah putih itu yang khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

Ternyata, kerasukan wanita berusia pertengahan 20-an itu semakin menjadi-menjadi. Bola matanya bertukar hitam dan pekikannya semakin kuat. Sambil mendengus melampiaskan amarah, Maria memekik, melontarkan potongan kata dalam bahasa Arab yang sedikit kurang jelas maksudnya.

Tidak keruan akibat terus dihenyak dengan bacaan ayat suci oleh Ustaz Adam, iblis yang merasuk Maria akhirnya mengaku kalah, meninggalkan tubuhnya yang masih lengkap mengenakan telekung itu terjelepok jatuh di atas lantai.


GANDINGAN Keserasian Nabila dan Syamsul terserlah dalamMunafik.


Impak

Secara kasar, begitulah impak luar biasa Maria, watak yang dihidupkan oleh aktres Nabila Huda menerusi minit awal filem terbaharunya, Munafik.

Benar, seperti kurang adil untuk memberikan justifikasi secara melulu terhadap kemunculan awal Nabila menerusi naskhah yang diarahkan oleh pelakon dan sutradara Syamsul Yusof itu.

Namun, tidak keterlaluan dikatakan, kuasa dan kebolehannya yang berjaya menyihir dan memaku penonton sepanjang hampir dua jam Munafik ditayangkan perlu diberi pujian. Tidak keterlaluan juga, karakternya kali ini perlu dibalas dengan penghargaan dalam mana-mana anugerah hiburan tempatan.

Menyingkap kembali pengalamannya sewaktu menyudahkan penggambaran Munafik sekitar Mac tahun lalu, Nabila secara jujur berkata, tidak banyak rujukan yang dibuat bagi memvisualkan watak Maria, malah, tiada sebarang latihan khusus yang dilakukan sebelum melangkah masuk ke set penggambaran.

“Semuanya berlaku secara spontan. Sebelum masuk ke set penggambaran, saya akan cuba mendalami watak dan mengkaji apa yang perlu dilakukan di hadapan kamera.

“Berkenaan dengan rujukan, Syamsul selaku pengarah merupakan sumber rujukan utama saya. Kami sentiasa berbincang dan cuba untuk merealisasikan watak Maria sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, kolaborasi kami nampaknya berhasil,” ujar Nabila ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munafik yang diadakan di GSC One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Nabila, cabaran yang dilaluinya sepanjang penggambaran bukan calang-calang. Beraksi menggunakan abah-abah, berbaring dalam peti simpanan mayat di hospital dan memberi ekspresi dirasuk secara berterusan sedikit sebanyak menimbulkan rasa keletihan dalam usaha untuk menelan karakter bernama Maria.

Namun disebabkan patuh pada komitmen, wanita berusia 31 tahun itu cuba menjayakan watak yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya sebaik mungkin.

“Melakonkan watak Maria bukan satu kerja yang mudah. Banyak perkara perlu diteliti. Dari segi memek muka dan penggunaan tenaga secara keseluruhan.

“Namun, saya berasa sungguh beruntung kerana disokong tenaga kerja yang baik dan pengarah yang sangat memahami. Secara keseluruhan, setiap penat lelah yang terbit sepanjang penggambaran terbayar selepas saya sendiri menyaksikan filem ini,” jelasnya.


OPTIMIS Bakal menemui penonton pada 25 Februari ini, Nabila Huda yakin bahawa peminat dapat menerima sisi berbezanya sebagai pelakon.

Watak berat

Tidak pernah sangsi terhadap bakat pengarahan milik Syamsul, anak kepada penyanyi rock Amy Search itu mengakui terus bersetuju sebaik sahaja ditawarkan untuk menggalas watak Maria.

“Saya bertuah kerana Syamsul memberikan kepercayaan untuk membawakan watak Maria. Saya diberitahu, watak gadis kerasukan itu juga turut ditulis berdasarkan karakter dan kemampuan saya.

“Agak terharu kerana dia tahu apa yang saya boleh lakukan dan sejauh mana bakat saya dalam bidang lakonan. Jika sebelum ini kebanyakan watak dalam filem yang saya lakonkan kurang menyerlah, besar harapan agar Munafik dapat memberikan kepuasan kepada penonton dan peminat,” ujarnya.

Selain mempercayai kebolehan Syamsul dalam mengemudi sesebuah karya, Nabila turut teruja untuk menggalas watak yang belum pernah dicuba.

“Sebelum ini saya kerap membawakan watak berat, tetapi, tidak dalam sebuah naskhah yang bergenre seram.

“Ini merupakan kali pertama saya meletakkan diri dalam watak yang suram dan melankolik. Terus-terang saya katakan, ia merupakan watak yang paling sukar untuk dijayakan setakat ini.

“Watak Maria juga turut menjadi kayu pengukur terhadap watak-watak yang akan saya bawakan pada masa akan datang,” katanya yang berharap agar watak tersebut tidak kelihatan klise dan sama dengan filem seram lain.

Munafik berkisar mengenai Ustaz Adam lakonan Syamsul Yusof yang sukar menerima kenyataan bahawa isterinya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan. Konflik mula tercetus apabila Ustaz Adam bertemu dengan seorang gadis bernama Maria (Nabila Huda) yang mengalami masalah kerasukan dan tekanan perasaan yang teruk.


AKSI Bagi memberikan kesan realistik, Nabila melakonkan kebanyakan babak aksi tanpa bantuan pelagak ngeri.

Bahagia

Sepanjang berbicara empat mata, Nabila tidak putus-putus mengukirkan senyuman, sambil sesekali melirik pada suaminya, Mohd. Izwan Johar yang sedang menggendong Keisha Laila, puteri tunggalnya yang kini berusia lima tahun.

Jelas terpancar kebahagiaan pada riak wajahnya selepas hampir dua bulan mendirikan rumah tangga, Nabila berkata, dia tidak pernah menganggap perkahwinan tersebut sebagai perkahwinan keduanya.

Tambah Nabila, rasa bahagia yang dikecapi ternyata berbeza jika dibandingkan dengan perkahwinan terdahulu dan dia kini lebih matang dalam melayari bahtera sebagai seorang isteri dan ibu.

“Sewaktu perkahwinan pertama, saya masih muda. Ketika itu, saya tidak dapat menikmati maksud sebenar berumah tangga.

“Namun, saya bersyukur kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang banyak mengajar saya mengenai kehidupan dan erti berdikari,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga, Nabila berkata: “Semuanya terletak pada rezeki. Jika telah ditakdirkan untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, saya dan suami akan menerima dengan hati yang terbuka,” katanya yang gemar menghabiskan masa di rumah bersama suami dan anak.


Previous Post Next Post