Pemburuan anugerah Jennifer Lawrence


PLAYGIRL Umum mengetahui, Lawrence telah menjalinkan hubungan dengan banyak lelaki termasuklah pelakon kacak, Liam Liam Hemsworth, aktor filem X-Men, Nicholas Hoult dan vokalis Coldplay Chris Martin hingga dilabel sebagai playgirl oleh media antarabangsa.

BARU berusia 25 tahun, tiada alasan buat aktres yang dicanang sebagai American Sweetheart di pentas lakon layar Amerika Syarikat (AS), Jennifer Lawrence untuk tidak mengukir senyuman lebar dek kejayaan gemilang yang telah dicapainya lewat kebelakangan ini.

Memiliki raut wajah jelita, fizikal sempurna, perwatakan yang menyenangkan serta didukung dengan bakat lakonannya yang tiada tolak banding, Lawrence atau nama lengkapnya, Jennifer Shrader Lawrence telah berjaya memaku perhatian masyarakat dunia tepat kepada dirinya sahaja.

Buktinya, majoriti setiap produk lakonan yang melibatkan namanya jarang sekali menemui jalan hampa. Kalaupun tidak mendapat sambutan sewajarnya di pawagam, ia akan mengaum garang dengan deretan pencalonan hebat di majlis anugerah berprestij. Begitulah signifikan dan penangan wanita berasal daripada kawasan timur AS, Kentucky itu.

Kali ketiga dicalonkan bagi kategori utama iaitu Aktres Terbaik dalam acara ulung, Academy Awards ke-88, pastinya keinginan Lawrence untuk sekali lagi menggenggam trofi Oscar semakin membuak-buak selepas kali terakhir dinobatkan sebagai Aktres Terbaik pada Academy Awards ke-86 menerusi aksi cemerlang dalam filem Silver Linings Playbook.

Pada Academy Awards ke-88 kali ini, dia dicalonkan sebagai Aktres Terbaik melalui filem Joy arahan sutradara berkaliber, David O. Russell yang pernah bekerjasama dengannya dalam dua filem hebat iaitu Silver Linings Playbook dan American Hustle sebelum ini.

Mengikut rekod sebelum ini, dia pernah mengukir kejayaan dengan menggondol gelaran pelakon wanita terbaik pada Academy Awards dan Golden Globe Awards pada tahun 2013 menerusi Silver Linings Playbook. Justeru, tidak mustahil aktres ini bakal mengulangi kejayaan sama usai memenangi anugerah Aktres Terbaik pada Golden Globe Awards ke-73 bulan lalu.

Sewaktu pencalonan sulungnya dalam Academy Awards empat tahun lalu, ramai yang mempertikaikan kemenangannya atas faktor dia masih terlalu muda untuk diberi pengiktirafan tersebut, menerusi lakonan mantapnya membawakan watak seorang ibu tunggal tabah bernama Joy Mangano dalam filem Joy pula adalah sebaliknya.

Ramai pengkritik filem mengharapkan Lawrence berjaya membawa pulang gelaran Aktres Terbaik kerana keberkesanan watak yang dimainkan oleh seorang pelakon junior sepertinya.

Dalam satu rancangan bual bicara popular, The Graham Norton Show, Lawrence memberitahu bagaimana watak Joy Mangano berjaya memberi dimensi baharu dalam kelangsungan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Joy merupakan filem berdasarkan satu kisah benar yang sangat memberi inspirasi kepada saya. Membawa watak Mangano banyak mengajar supaya percaya kepada kebolehan diri sendiri walaupun orang lain menafikan kebolehan sebenar saya.

“Ia juga merupakan watak yang sangat berbeza daripada lakonan saya sebelum ini. Apatah lagi ia adalah cermin kepada seorang figura yang menjadi kebanggaan dunia. Saya tiada pilihan melainkan memberikan semua yang terbaik untuk menjayakan watak tersebut,” katanya.


Tersungkur


MENYANYI - Selain berlakon, Lawrence juga mempunyai bakat menyanyi. Dalam filem Hunger Games: Mockingjay Part 1, dia merakamkan lagu berjudul The Hanging Tree yang turut menjadi runut bunyi filem arahan Francis Lawrence itu. Menariknya, lagu tersebut pernah tersenarai dalam tangga 20 teratas carta Billboard Hot 100.

Acap kali berlakon di bawah arahan Russell, ramai yang memuji keserasian antara pengarah berbakat tersebut. Lawrence mengakui bahawa bekerja dengan sutradara itu mempunyai nilai tersendiri yang memberi impak berkesan terhadap mutu lakonannya.

Katanya: “Russell adalah pengarah filem yang mengerti siapa diri saya sebenarnya. Dia tahu apa dia mahu dan saya tahu apa yang saya boleh berikan (dalam lakonan).”

“Dia tidak mempunyai masalah apabila lakonan saya tidak menjadi pada matanya untuk mengatakan sesuatu seperti ‘anda memang teruk’. Saya juga tidak mempunyai masalah dengan perkara (tengkingan) itu,” ulasnya lagi.

Walaupun dijulang tinggi sebagai seorang aktres, lumrah dalam cabang seni, Lawrence tidak terkecuali dikerumuni anasir yang memberi warna kurang menarik dalam coretan hidupnya sebagai selebriti popular.

Ya, Lawrence dan pengiktirafan memang sinonim. Pada masa yang sama, dia juga merupakan seorang yang akan meninggalkan ‘sesuatu’ usai menghadiri majlis anugerah.

Masakan tidak, dia pernah tersungkur sebanyak tiga kali di depan khalayak. Pada tahun 2013, Lawrence tersungkur ketika sedang menaiki tangga bagi menerima trofi Oscar.

Ujarnya ketika berucap: “Terima kasih. Kamu semua berdiri memberikan tepukan kerana rasa saya berasa teruk selepas jatuh tersungkur tadi. Ia memang memalukan tetapi terima kasih.”

Tidak terhenti di situ, pada Academy Awards ke-84 pula, Lawrence berhadapan dengan detik memalukan apabila sekali lagi terjatuh ketika sedang berjalan pada acara karpet merah. Pada tayangan perdana Hunger Games: Mockingjay Part 2 di Madrid, Sepanyol pula, dia yang mengenakan gaun berona hitam sekali lagi jatuh tersungkur pada acara karpet merah.

Memalukan, tetapi barangkali unsur-unsur ‘kemalangan kecil’ sedemikian yang melazimkan namanya di bibir peminat dunia. Perwatakan rawak dan bijak wanita yang cukup dikenali dengan karakter Katniss Everdeen itu berjaya menyembunyikan kekalutan yang berpunca dari dirinya.

Dalam pada tidak banyak menuai sensasi, Lawrence sebenarnya tetap tidak terlepas daripada memercikkan hal seumpama itu.

Usai dinobatkan Aktres Terbaik pada Golden Globe Awards bulan lalu, dia menerima kritikan hebat kerana bersikap biadab dengan salah seorang wartawan ketika acara sidang akhbar.

Getusnya memarahi wartawan E! Online, Juan Pablo Fernández-Feo: “Anda tidak boleh hidup hanya bergantung kepada telefon pintar.

“Anda tidak boleh buat begitu. Anda perlu fokus dengan apa yang anda lakukan sekarang (menemu bual).”

Ramai yang terkejut dengan sikap sombong dan biadab yang ditunjukkan bekas teman wanita vokalis Coldplay, Chris Martin itu.

Hanya berdiam dengan apa terjadi, perkara sebenar akhirnya dibongkar rakan seperjuangannya, Anne Hathaway yang menjelaskan di laman Facebook miliknya bahawa Lawrence hanya bergurau dengan wartawan tersebut kerana ketika sedang menjawab soalan, dia (wartawan) memang merakamkan gambar Lawrence.

Kali keempat dicalonkan dalam Academy Awards ke-88, dia yang bertanding atas tiket filem Joy bakal berentap sekali lagi dalam kategori Aktres Terbaik dengan empat pelakon wanita handalan lain seperti Brie Larson (Room), Charlotte Rampling (45 Years), Cate Blanchett (Carol) dan Saoirse Ronan (Brooklyn).

Bakal dihoskan oleh pengacara popular, Chris Rock, Academy Awards ke-88 akan berlangsung pada 28 Februari ini bermula pukul 5.30 petang (waktu AS) bertempat di Dolby Theatre in Hollywood, California. Saluran HBO pula akan menayangkan siaran langsung mengikut waktu tempatan pada hari Isnin, pukul 9.30 pagi.

Previous Post Next Post