PERNAH hidup dalam tekanan dan mendapatkan rawatan, Shae kini tidak mahu memikirkan kritikan pedas peminat terhadap dirinya.
SIAPA tidak kenal dengan penyanyi dari seberang bertubuh tinggi lampai dan berperwatakan ceria, Shae. Mula dikenali menerusi single Sayang, pemilik nama sebenar Sheryl Geting, 22, dilihat terus menyinar dalam industri hiburan tanah air.
Berjaya membawa single Sayang dengan baik, percaturan penyanyi berdarah kacukan Australia dan Indonesia itu bukan sahaja diterima peminat Malaysia, malah menerusi lagu itu Shae berjaya meraih penghargaan 10 kali platinum untuk muat turun nada dering.Tambah membanggakan, album pertama miliknya, The First turut mendapat penghargaan platinum.
Mengakui tidak akan terus berpuas hati memukau peminatnya, Shae kini kembali dengan single terbaharu berjudul Seperti Magic.
Tidak sekadar memperkenalkan single, wanita bersuara lunak itu turut melancarkan album keduanya dengan tajuk yang sama iaitu Seperti Magic.
Shae yang ditemui di Hippie Hub, Damansara Perdana baru-baru ini berkongsi kasih di sebalik pembikinan album yang memakan masa sehingga empat tahun untuk disiapkan itu.
“Album kedua ini terlalu istimewa buat saya. Ia lahir ketika saya menyambut ulang tahun ke-22 pada 16 Februari lepas. Tambahan pula, album ini memerlukan masa sehingga empat tahun untuk disiapkan dan Alhamdulillah dalam waktu itu, saya banyak belajar sehingga diberi kepercayaan mencipta lagu sendiri untuk album ini.
“Sebetulnya, masa yang lama diperlukan itu sangat berkait dengan masalah diri saya sendiri. Saya akui, sebelum melibatkan diri dalam industri, saya rasa sudah bersedia untuk menjadi penghibur. Malangnya, setelah bergelar penyanyi banyak perkara yang terjadi sehingga saya tertekan dan hilang kepercayaan dalam diri,” ujarnya mengenai album yang boleh dibeli secara digital bermula 18 Mac ini memulakan bicara.
Rawatan hipnoterapi
Menyambung bicara, Shae mengakui berasa tertekan dan rasa hilang keyakinan diri kerana kritikan. Dia terlalu mendengar percakapan yang tidak sepatutnya didengar. Antaranya mengatakan Shae tidak boleh bernyanyi dan tiada bakat.
Ternyata kritikan tersebut memberi tamparan hebat dalam kerjayanya. Dia hilang keyakinan diri selama enam bulan. Lebih teruk, tekanan yang dihadapi pernah membuatkannya lari ke rumah kawan, susah untuk bekerja dan tidak berani membuat persembahan selain berdepan dengan masyarakat sekeliling.
“Perkara itu terjadi pada tahun 2014 selepas lagu Sayang keluar. Ketika itu pelbagai kritikan yang saya terima dan ternyata perkara itu benar-benar memberi kesan kepada saya.
“Akibat terlalu tertekan, akhirnya saya pergi mendapatkan rawatan hipnoterapi (rawatan separuh sedar). Saya perlu perbetulkan dan kembalikan keyakinan diri terlebih dahulu, sebab kalau diri sendiri tidak bahagia, bagaimana mahu membuat orang lain bahagia,” ujarnya.
Selepas bangkit daripada kejatuhan, Shae bersyukur telah pulih sepenuhnya daripada tekanan itu. Malah katanya, dia mula sedar tujuan utama menceburi bidang nyanyian adalah untuk diri dan peminat yang boleh menerimanya.
Lantas dia kini sama sekali tidak akan menghiraukan kritikan pedas dan lebih memahami suka duka perjalanan menjadi seorang penyanyi. Dia juga lebih bersedia dengan penilaian peminat terhadap kebolehan vokal dan lirik yang dihasilkan menerusi album keduanya.
“Apabila saya mula mempercayai diri, saya turut menyedari satu perkara iaitu peminat pun mula mempercayai bakat dan diri saya.
“Alhamdulillah, setelah belajar bersyukur, saya mula mempelajari banyak perkara yang boleh mendewasakan diri. Saya rasa itu adalah satu magis buat diri sendiri,” katanya tersenyum.
Belum berpuas hati
Mengulas mengenai kebangkitan semula dirinya dalam kerjaya dan dia juga berjaya meraih penghargaan platinum menerusi album The First dan single Sayang, Shae bagaimanapun mengakui masih belum berpuas hati.
“Kita sebagai manusia jangan cepat puas, jadi saya tidak mahu puas dan tidak boleh puas. Selepas bangkit, saya akan kembali semula kepada sasaran awal iaitu hendak menjadi yang terbaik untuk diri dan untuk orang sekeliling saya.
“Saya memang ada sasaran tetapi ia tidak pernah tetap. Mungkin bagi sesetengah penyanyi, mereka impikan untuk memenangi anugerah tetapi tidak bagi saya. Cukuplah saya ingin menjadi yang terbaik dalam diri dan kerjaya saya,” ujarnya yakin.
Diajak berbicara lanjut, Shae kemudian sengaja diasak dengan pertanyaan mengenai teman hidupnya. Sambil ketawa, dia berkata perbezaan karakter yang ada dalam diri membuatkan sukar untuk orang luar menerimanya.
“Saya mempunyai pelbagai karakter dalam diri dan ia akan keluar secara tidak langsung. Mungkin boleh saya katakan, jika di atas pentas orang akan melihat saya dengan satu karakter, tetapi esok apabila orang berjumpa dengan saya, keluar pula karakter yang berbeza.
“Sejujurnya, bukan takut untuk berpacaran, tetapi agak sukar untuk menemui seseorang yang benar-benar dapat menerima saya. Pada saya percintaan adalah satu pelaburan, jadi apabila bercinta saya akan serius kerana tidak mahu membuang masa dengan hubungan yang sia-sia,” tegasnya.