Awie tunggu jawapan Erra


BIARPUN sudah lama berlalu, peminat masih mengingati kisah percintaan antara Awie dan Erra pada tahun 1990an dahulu.

Tiada sekelumit sengketa daripada lagak kedua-duanya. Sesekali Erra Fazira mengusik Awie. Malu diusik, tangan bintang rock itu laju sahaja memukul manja bahu wanita yang pernah menjadi tunangannya satu ketika dahulu.

Maka, kami yang melihatnya terhambur tawa, terhibur dengan gelagat mesra dua bintang hebat itu.

Itu visual yang terakam daripada kaca mata kami yang hadir ke sesi fotografi bersama Erra dan Awie sempena mempromosikan filem terbaharu lakonan mereka yang berjudul Warna Cinta Impian.

Ironinya, episod percintaan mereka sudah lebih dua dasawarsa berlalu. Namun ia masih membekas dalam ingatan peminat tegar mereka.

Putik cinta mereka yang tumbuh ketika sama-sama membintangi filem Sembilu dan kemudian melangsungkan pertunangan pada 1996 sebelum akhirnya putus dengan episod kontroversi pada hujung 1998, masih segar dan melata di sanubari peminat yang masih menaruh harapan untuk kedua-duanya kembali bersama.

Tidak mampu untuk ditepis, tempias itu turut dirasai oleh Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman sehingga kini.

Hanya tinggal kenangan

“Sampai ke hari ini, bila saya pergi Sabah dan Brunei misalnya, orang akan tanya Erra mana? Lagi-lagi bila isu kami sudah solo mula berbangkit.

“Nak buat macam mana, saya ajak kahwin dia tak nak. Ada kekasih muda katanya. Menurut apa yang saya baca di akhbarlah,” ujar Awie berseloroh sambil disambut oleh deraian ketawa semua yang ada di situ.

Sambil dinafikan oleh Erra, pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu juga menyatakan jawapan yang serupa dengan Awie.

“Memang ada peminat yang masih bertanya mengenai hubungan kami, tetapi saya anggap itu sebagai gurauan memandangkan hubungan kami dulu hanya tinggal kenangan. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.

“Kisah cinta kami dulu tidak perlu diungkit kembali. Kami pernah melalui perkahwinan dan perceraian yang hampir sama. Secara tidak langsung ia mematangkan kami dan juga hubungan persahabatan kami,” ujar Erra yang melalui episod dua kali perceraian dengan Yusry KRU pada 26 April 2006 dan juga Engku Emran pada 17 Februari 2014.

Begitu juga dengan Awie yang menerima nasib serupa apabila kedua-dua perkahwinannya bersama Arni Nazira dan juga Rozana Misbun tidak mampu bertahan lama.

Biar hubungan yang terjalin di antara mereka kini berlandaskan tali persahabatan, Awie tidak teragak-agak melamar Erra untuk mengangkat kisah percintaan mereka ke layar perak kerana sedar ramai peminat mereka menaruh harapan untuk menyaksikan pasangan itu bersama dalam filem.


Parut lama

“Sehingga sekarang, peminat masih lagi memperkatakan mengenai gandingan kami dalam filem Sembilu dahulu. Jadi, saya yakin keserasian kami masih ada. Disebabkan itu, kami menerima tawaran berlakon dalam filem Warna Cinta Impian.

“Pada masa sama, susulan kejayaan kerjasama kami menerusi Konsert Teaterikal Suara Hati yang berlangsung di Istana Budaya dua tahun lalu, ada beberapa pihak yang datang menyatakan hasrat untuk mengangkat kisah cinta kami ke layar perak. Bagaimanapun, ia tidak jadi. Maka, saya meneruskan idea tersebut untuk menghasilkan sendiri filem kami ke layar perak.

“Saya ada berbincang dengan Erra mengenai idea ini. Semuanya terserah pada persetujuan Erra sebelum ia direalisasikan,” ujar Awie yang mengaku tiada niat mendedahkan ‘parut lama’ mengenai mereka tetapi mahu menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku memandangkan percintaan mereka disifatkan di fasa mentah sementelah usia Erra ketika itu baru 19 tahun sementara Awie pula berusia 25 tahun.

Mengulas mengenai cadangan dan permintaan Awie itu, Erra masih lagi belum mempunyai kata putus sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Awie ada menanyakan perkara ini, tetapi saya memintanya sedikit masa kerana banyak perkara perlu dibincangkan terlebih dulu. Bagaimanapun, saya tidak ada masalah untuk berlakon bersama Awie untuk filem tersebut biarpun sebelum ini hubungan kami pernah lama renggang,” ulas Erra santun.

Warna Cinta Impian

Berkongsi mengenai gandingan mereka dalam filem Warna Cinta Impian yang akan ditayangkan pada 31 Mac ini pula, kata Awie, filem yang diarahkan oleh NS Krishna dan terbitan Touchtronics Entertainment itu diinspirasikan daripada filem Sembilu.

“Pihak penerbit datang kepada kami mengusulkan tawaran ini. Kami tidak terus bersetuju dengan tawaran tersebut memandangkan jadual seni saya dan Erra sangat padat. Namun, penerbit begitu bersungguh mahu menggandingkan kami dan sanggup mengikut jadual seni kami.

“Malah, mereka juga memberi kebebasan kepada kami untuk improvisasi dialog mengikut kesesuaian dan keselesaan kami,” luahnya yang akhirnya bersetuju membintangi filem yang ada diserapkan sedikit elemen filem Hindustan tetapi masih kuat elemen kemelayuannya.

Mengulas mengenai elemen Hindustan itu, ujar Erra pula, mereka tidak menari di dalam filem ini sebaliknya babak tersebut hanya dilakukan oleh pasangan hero dan heroin iaitu Erwin Shah Dawson dan Shikin Kamal.

“Filem itu tidak mengangkat keseluruhan kisah cinta saya dan Awie dalam Sembilu kerana kami hanya watak sampingan semata-mata. Filem itu lebih memberi tumpuan pada hero dan heroinnya Erwin dan Shikin.

“Penampilan saya dan Awie hanya sebagai penguat dalam filem itu,” katanya yang turut menafikan Warna Cinta Impian mempunyai persamaan dengan jalan cerita filem Dilwale lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu.

Previous Post Next Post