Hunny Madu Beri Masa Tiga Tahun Untuk Jadi Deejay Semula


Hunny Madu berkolaborasi bersama artis baharu iaitu Aman Ra menerusi lagu Hello.

Penyanyi Hunny Madu meemberi masa selama tiga tahun untuk dia memikirkan usaha kembali semula ke dunia penyiaran radio selepas bergelar penyanyi.

Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 32, berkata, buat masa ini dia tidak mahu kerjaya sebagai penyampai sesebuah radio membataskan perjalanan kerjaya sebagai penyanyi.

"Saya ambil keputusan untuk tidak terlibat dengan bidang penyiaran radio sejak 2013 kerana tekad untuk jadi penyanyi. Saya tahu jika saya terus ada kepentingan dengan mana-mana stesen radio ia akan menimbulkan masalah,” ujarnya kepada mStar Online.

Hunny Madu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Hello, di sini, Selasa.

Penyanyi itu pernah berkhidmat sebagai penyampai di stesen radio Fly FM pada tahun 2008 sehingga 2013.

Bagaimanapun Hunny berkata, dia masih sayang dengan kerjaya tersebut dan berharap dapat kembali semula kepada kerjaya itu pada masa yang sesuai.



Hunny Madu (lima dari kiri) dan rakan-rakan artis yang terlibat muzik video lagunya. Turut kelihatan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy (empat dari kiri).

"Saya sayang kerjaya sebagai deejay radio kerana dapat berinteraksi dengan pendengar dengan lebih rapat tapi komitmen untuk kerjaya itu terlalu tinggi.

"Ada juga yang tawarkan untuk kendalikan stesen radio lain, namun saya terpaksa tolak kerana tujuan saya berhenti dahulu untuk fokus kepada nyanyian.

"Alhamdulillah hidup saya lebih fokus dan ada masa dengan keluarga, selain itu saya dapat berkarya menghasilkan lagu-lagu saya sendiri," ujarnya.

Lagu Hello merupakan lagu ketiga ciptaannya sendiri bekolaborasi dengan penyanyi rap Aman Ra.

Tambah Hunny, Hello merupakan lagu pop catchy berbeza daripada genre hip-hop yang pernah dibawakannya sebelum ini.

"Boleh dikatakan lagu ini keluar daripada genre saya sebelum ini iaitu hip-hop dan ia sebagai percubaan untuk saya berkarya.

"Pada awalnya memang rasa ragu-ragu sama ada sesuai untuk saya nyanyikan sendiri atau berikan kepada penyanyi lain, namun akhirnya ramai mencadangkan agar saya sahaja menyanyi lagu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, lagu Hello turut tampil dengan muzik video yang menampilkan rakan-rakan artis seperti Sazzy Falak, Reem Shahwa, Kayda, Amelia Henderson, Amber Chia, Tizz Zaqyah, Mu'daz dan Freeze.

Hunny Madu sebelum ini pernah mengeluarkan album pertama iaitu Pulau Janji pada 2011 dan sebuah Mixtape berjudul GoHard GoStan yang turut menampilkan lagu Gucci Dowh.

Previous Post Next Post