Kedewasaan Atikah Suhaime, pertaruhan Rani Kulup


Bagi pemilik nama Atikah Suhaime dan Rani Kulup, pelancaran filem Kipidap! Selamatkan Hari Jadi (KSHJ) memberi makna tersendiri dalam catatan kalendar kehidupan seharian mereka.

Atikah yang kali pertama diangkat menjadi watak utama berasa teruja. Dalam masa yang sama dia berdebar menanti respons yang bakal diterima manakala bagi Rani Kulup pula, percubaan beraninya melangkah ke dalam industri seni dianggap sebagai rezeki yang rugi andai tidak digunakan.

Jika mahu dibandingkan usia pengalaman berlakon, Atikah mempunyai kelebihan memandangkan sudah hampir empat tahun bergelar anak seni namun gadis kelahiran Singapura itu berkata, berlakon di samping Rani Kulup memberinya pengajaran baharu.

“Ayahanda (panggilan untuk Rani Kulup) mungkin baru hendak berjinak-jinak dalam dunia lakonan tetapi satu perkara yang saya belajar daripadanya ialah sentiasa menjadi diri sendiri.

“Dia berada dalam dunianya sendiri dan tidak suka mengambil pusing tentang apa yang diperkatakan orang tentang perwatakannya. Ianya satu proses penggambaran yang unik bersama Ayahanda dalam filem ini,” katanya yang memegang watak Sapura ketika ditemui pada majlis tayangan perdana KSHJ di Damansara, baru-baru ini.

Bagi Rani Kulup, peluang yang ditawarkan oleh pihak produksi MIG sangat dihargai dan dia berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk berlakon filem walaupun tidak mempunyai asas sebagai pelakon.

Banyak dibantu oleh artis-artis KSHJ untuk beraksi di depan kamera menjadikan Rani Kulup tidak kekok atau segan untuk cuba memberikan yang terbaik dalam melakonkan watak Tok Daddy dalam filem tersebut.

“Saya bukan pelakon dan saya sedar akan perkara itu. Malah watak Tok Daddy bukanlah watak utama cuma sebagai penampilan istimewa bagi memeriahkan lagi filem KSHJ.

“Ia pengalaman baharu bagi orang tua seperti saya yang mahu cuba berlakon. Apa yang paling saya hargai ialah penerimaan dalam kalangan kru produksi yang tidak meminggirkan saya dan sering memberi tunjuk ajar sepanjang proses penggambaran,” katanya lagi.


Video seks

Genap berusia 25 tahun tanggal 15 Mac baru-baru ini ternyata mengubah perspektif pemilik nama sebenar Nor Atikah Suhaime dalam menempuh kehidupan sebagai seorang selebriti.

Pernah berdepan dengan beberapa gosip murahan seperti menempelak media dan isu video seks mengajar Atikah untuk lebih berhati-hati saat berdepan krisis yang sememangnya lumrah dalam kehidupan anak seni.



Setakat ini, Rani Kulup sudah membuat hampir 1,000 laporan polis dan menganggap tujuan dia membuat laporan polis kerana terpanggil ‘untuk menyelamatkan negara’ selain membantu mereka yang mengharapkan bantuannya.

Katanya, sebelum ini dia tidak berfikir panjang sebelum membuat apa-apa kenyataan dan terlalu mengikut emosi. Bagaimanapun itu semua telah mematangkan dirinya baik sebagai seorang wanita dan juga artis yang dikenali masyarakat.

“Perkara penting yang saya belajar dalam tempoh beberapa tahun menjadi artis ialah jika terdapat apa-apa masalah, tindakan pertama ialah bertenang dan jangan cepat melatah.

“Saya bersyukur kerana sepanjang ditimpa khabar angin yang sedikit menjejaskan karier, keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan padu untuk saya kembali bangkit,” jelasnya yang enggan lagi menoleh ke belakang dan mahu fokus kepada karier.

Bukan kejar popular

Bercakap tentang kehidupan peribadi, Atikah ternyata tidak menunjukkan tanda-tanda bersedia memberikan komitmen untuk bergelar isteri dalam masa terdekat kerana baginya, usia 25 tahun masih terlalu muda untuk bercakap soal berkahwin.

Belum terlintas akan soal itu, pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit itu hanya tertawa saat disentuh persediaan melangkah ke peringkat seterusnya bersama teman lelaki sambil berkata tidak pernah berbincang mengenai perkahwinan setakat ini.

“Saya rasa kami berdua mahu mengukuhkan kerjaya dan kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum serius memikirkan soal berkahwin. Buat masa sekarang, saya masih tidak berasakan perlu untuk terus bernikah.

“Biarlah kami mengambil masa mengenal hati budi dan jika ada jodoh, kami akan disatukan juga. Apa yang penting, doakan sahaja yang baik-baik,” ujarnya lagi.

Beralih cerita kepada lelaki yang sebelum ini terkenal dengan gelaran Raja Laporan Polis, Rani Kulup, persetujuan untuk menerima watak dalam filem KSHJ bukan alternatif meraih populariti segera.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu menyahut cabaran kerana ingin menguji keupayaan diri memandangkan ada pihak mengesan potensi dirinya untuk menghiburkan orang.



Tambahnya, isu popular sama sekali tidak timbul kerana sebelum ini, masyarakat sudah pun mengenali siapa Rani Kulup dan perkataan-perkataan yang diciptanya seperti ‘Kipidap’, ‘Dongibab’ dan ‘Nevegibab’ sudah lama diviralkan.

“Pihak MIG merasakan saya ada sedikit bakat berlakon dan mereka memberi peluang untuk saya kembangkannya. Jadi apa salahnya saya menggunakan kesempatan yang ada.

“Jika sekadar mahu meraih publisiti, sebelum ini saya sering membuat laporan polis bagi artis dan orang awam. Saya kira itu sudah membuat masyarakat mengenali saya kerana sering muncul dalam media cetak dan elektronik,” terangnya lagi.

Antara perkara baharu yang dipelajari oleh Rani Kulup dalam dunia lakonan ialah tentang disiplin diri iaitu dia belajar bekerja di bawah pengarah dan cuba memenuhi kehendaknya dalam menjayakan karakter.

Tidak menolak untuk bertukar profesion sebagai pelakon profesional selepas ini, dia menyerahkan penilaian kepada penerbit serta peminat untuk menentukan sama ada diterima dalam industri atau tidak.

“Jika memang sudah rezeki, saya tidak menolak tetapi semuanya bergantung pada golongan yang lebih arif tentang dunia sama ada masih ada ruang untuk saya terus mencuba.

“Lagipun, saya masih lagi ada tugas menjaga kepentingan masyarakat awam untuk membantu mereka menegakkan keadilan. Berlakon atau tidak, ia tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai Pengerusi MJMM,” katanya lagi.

Previous Post Next Post