Roslan Shah berasa menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
Pengacara Roslan Shah menuntut pengasas produk D'Herbs iaitu Datuk Aliff Syukri Kamarzaman memberi penjelasan dan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan syarikat itu tidak pernah melantiknya sebagai jurucakap produk berkenaan.
Roslan, 46, berkata, dia berasa kecewa dan terkilan memandangkan sebelum ini berita mengenai pelantikannya itu sudah diketahui umum.
"Saya terlebih dahulu membaca kontrak diberikan tetapi tidaklah sehingga meneliti satu persatu tetapi siapa yang tidak gembira apabila diberitahu akan dilantik menjadi jurucakap D'Herbs.
"Saya tidak pernah bergelar duta produk sebelum ini dan sepatutnya saya layak mendapat penjelasan lebih teliti dan bukannya secara tiba-tiba pihak D'Herbs mengeluarkan kenyataan menafikan pelantikan saya.
Roslan (tengah) bersama Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan isterinya, Datin Nur Shahida Abdul Rashid.
"Perkara ini membuatkan saya berasa malu kerana satu Malaysia sudah tahu mengenai perkara itu dan saya terkilan dengan insiden ini," katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini, Roslan memberitahu menerima bayaran lumayan daripada D'Herbs sebagai duta produk Gemolek selama 14 bulan selain bertindak sebagai pengacara untuk promosi jelajah jenama itu.
Aliff bagaimanapun ketika memperkenalkan Amelina sebagai duta produk itu menjelaskan pihaknya tidak pernah melantik Roslan menjadi jurucakap sebaliknya dia hanya bertindak sebagai pengacara dan model sahaja.
Dalam pada itu, Roslan berkata, sebelum ini ketika promosi jelajah di Ipoh, Perak, Aliff sendiri memperkenalkannya dan Amelina sebagai duta baharu D'Herbs.
Kata Roslan, dia keliru dengan sikap Aliff yang seolah-olah cuba mempermainkannya sehingga dia terpaksa menanggung malu.
"Saya hendak dia jelaskan kenapa ketika di Ipoh dia perkenalkan saya sebagai duta dan bukannya model?
"Ramai yang mendengar ketika itu dan tiba-tiba ia hanya salah faham. Saya keliru," ujarnya.
Amelina (tengah) yang dilantik sebagai duta pewarna rambut D'Herbs.
Tambahnya lagi, dia sempat bertemu dengan Aliff ketika mereka sama-sama terlibat dalam promosi jelajah di Kota Kinabalu untuk membincangkan perkara tersebut sehingga berlaku pertengkaran di antara mereka.
Bagaimanapun kata Roslan, dia tidak bercadang untuk menarik diri kerana sudah pun menandatangani kontrak dan akan bersikap profesional dalam menjalankan tugas diamanahkan.
"Saya bukannya hendak perbesarkan isu berkenaan tetapi kecewa dan terkilan apabila dimalukan sebegini.
"Tetapi apa pun saya tetap akan meneruskan tanggungjawab sebagai pengacara dan model tetapi tidak akan mempromosikan produk keluarannya menerusi laman sosial," ujarnya.