Filem Redha, didik Nadiya Nisaa


PENGETAHUAN mengenai anak Autistik barangkali tidak seperti tahap kesedaran kita terhadap anak Sindrom Down.

Justeru dek kerana itu, Nadiya Nisaa bersetuju untuk membintangi filem pertama arahan Tunku Mona Riza, Redha.

Redha mengisahkan Alina dan Razlan bergelut untuk membesarkan anak lelaki mereka Daniel yang mengidap autisme. Razlan yang tidak dapat menerima hakikat telah menyebabkan rumah tangga mereka goyah.

Namun Alina terus berusaha dan mereka berjaya mengurus dan membesarkan Daniel dalam tempoh sukar, malah mereka berjaya memperbaiki kualiti hidup anak mereka.

Menurut Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 31, dia sememangnya sudah lama meminati hasil kerja Tunku Mona yang sebelum ini pernah menjayakan telefilem Uri dan Parit Jawa.

Justeru apabila Tunku Mona tampil dengan filem pertama dan mengangkat kisah anak autistik, maka dia tidak teragak-agak untuk menerima.

"Bagi saya filem ini sangat istimewa kerana ia mendidik kita, bukan sahaja yang menonton, malah saya sendiri yang melakonkan.

"Sebelum ini pemahaman dan pengetahuan mengenai anak autistik memang kosong, jadi bila saya terlibat dengan filem ini, dan berpeluang berjumpa dengan ibu bapa yang mempunyai anak autistik, ia memberi satu pengalaman baharu kepada saya.

"Malah bila melihat ibu bapa yang mempunyai anak autistik ini menjaga anak mereka, saya jadi segan kerana saya sendiri tidak menjaga anak saya sebaik itu.

"Jadi selepas terlibat di dalam filem ini, saya jadi lebih fokus menjaga anak saya," ujarnya ketika ditemui media pada majlis tayangan filem berkenaan baru-baru ini.

Selain Nadiya, filem ini turut dijayakan Namron, Junainah, Harith Haziq, Izzy Reef, Remy Ishak, Ruminah Sidek, Susan Lankester dan ramai lagi.

Memegang watak sebagai Shasha yang mempunyai anak saudara yang mempunyai masalah autisme bernama, Daniel, Nadiya berkata, watak tersebut sedikit sebanyak memberi cabaran kepadanya.

"Memang watak saya berlainan kerana berhadapan dengan kanak-kanak autisme yang perlukan kesabaran yang tinggi untuk menguruskan kanak-kanak seperti ini.

"Malah bagi saya, filem ini ada unsur sentimental tersendiri bukan sahaja buat sama, bahkan Tunku Mona sendiri.

"Tapi saya respek dengan adik Harith Haziq yang membawakan watak Daniel kerana dia perlu tampil dengan dua kali ganda usaha untuk membawakan watak sebagai penghidap autisme," jelasnya.

Dalam pada itu, di tanya perasaannya dapat bekerjasama dengan individu yang seiras dengan wajahnya, iaitu isteri kepada Namron, Nadiya berkata, dia mengibarkan peluang ini sebagai satu magis.

"Sebelum ini kawan-kawan abang Namron selalu tanya saya pernah jumpa isterinya (Junainah) tak? Dan perkara itu sering diperkatakan sepanjang tempoh dua tahun.

"Sehinggalah abang Namron mementaskan pementasan Mat Deris Kuala Perlis dan ketika itu kak Jun (Junainah) datang, baharulah saya percaya apa yang orang katakan selama ini kerana muka kami memang sama, sehinggakan kak Jun sendiri mengakui orang sering salah faham kerana menegurnya sebagai Nadiya Nisaa.

"Justeru apabila kami berlakon bersama, saya rasa ia sebagai satu peluang magis," jelasnya.


Rehat hingga hujung tahun

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Nadiya berkata, dia kini sudah mula berehat selepas kandungannya berusia lima bulan.

Katanya, dia akan kembali aktif bermula hujung tahun ini.

"Tak dinafikan kehamilan kedua ini sangat berbeza dengan kehamilan pertama. Saya lebih cepat penat, mungkin kerana faktor usia (ketawa).

"Malah jarak kehamilan empat tahun juga membuatkan saya berasa seperti pertama kali mengandung, termasuk menghadapi 'morning sickness' yang terus di awal tempoh kehamilan," katanya.

Masih belum mengetahui jantina anak yang dikandung, Nadiya bagaimanapun berharap dikurniakan cahaya mata perempuan selepas dikurniakan anak lelaki, Omar, 5 tahun.

"Saya harap perempuan, tapi rasa macam lelaki juga. Tak tahu nak cakap sebab saya sendiri dah beberapa kali terlepas pemeriksaan susulan kerana terlalu sibuk," jelasnya.

Tambah Nadiya, dia tidak membuat persiapan yang berlebihan kerana banyak barang milik Omar yang masih boleh digunakan.

"Kakak saya baru bersalin bulan lalu, jadi ada beberapa barangnya yang saya dah sasarkan untuk digunakan pula selepas ini.

"Kalau beli pun, saya mungkin beli macam baju dan botol susu sahaja kerana ada beberapa barang Omar sebelum ini masih boleh digunakan," akhirinya.

Previous Post Next Post