
Aiman menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan dirinya dengan penularan video lucah.
Penyanyi, Aiman Tino bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan dirinya dengan penularan video lucah seorang lelaki mirip wajahnya baru-baru ini.
Aiman atau nama sebenarnya Mohamad Aiman Yusri, 20, berkata, sebuah laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 11 malam di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor semalam.
Menurut Aiman, dia memberi amaran kepada pelaku untuk bersedia bertemunya di mahkamah.
"Saya telah dihubungi oleh rakan wartawan yang memberitahu ada melihat satu rakaman video mirip diri saya telah tular di media sosial.
"Saya dengan ini menafikan sekerasnya bahawa orang dalam video tersebut adalah saya dan memohon pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap penyebar video," katanya.
Tambah Aiman, video berkenaan bukan sahaja mengaibkan dirinya, malah turut mencalarkan imej kedua ibu bapanya.
Semalam kami melaporkan penafian Aiman berhubung penularan klip video kedua yang dikatakan mirip wajah pelantun Ku Rela Dibenci itu.
Terdahulu, Aiman pernah terpalit isu yang sama berikutan penularan sebuah klip video seorang lelaki melakukan aksi lucah yang juga mirip wajahnya.
Sebelum ini, Aiman pernah memberi amaran untuk membuat laporan polis sekiranya kontroversi tersebut berlarutan.