Aman Nassim Saya harapkan keajaiban Allah




“Jantung bapa terhenti sekejap tadi, namun ia berdegup kembali. Doakan bapa saya sedar dan sembuh. Doktor beritahu keadaan bapa kritikal iaitu tinggal lima peratus saja. Saya mengharapkan keajaiban Allah,” kata pelakon dan penyanyi, Aman Nassim mengenai keadaan bapanya, Nasim Haron yang kritikal di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat kanser usus tahap empat.

Aman, 30, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nasim berkata, kali terakhir dia bercakap dengan bapanya pada Isnin lalu sebelum rebah dan dimasukkan hospital.

Menurut Aman, ketika itu bapanya bertanyakan mengenai persiapan majlis perkahwinannya.

“Selepas menjalani rawatan kimoterapi pertama dan kedua, bapa nampak kuat. Itu yang kami mahu segerakan majlis. Namun, apa yang kita rancang semua tidak menjadi.

“Isnin lalu bapa sedar lagi. Dia menghubungi saya dan minta balik segera. Sebaik berjumpa saya, ayat pertama yang ditanya ialah mengenai persiapan kahwin saya. Saya cakap semua sudah okey dan dia tersenyum.

“Tidak sampai setengah jam, dia rebah dan pengsan. Tekanan darah turun mendadak. Sekarang, bapa menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya kepada Harian Metro.

Aman berkata, menjadi impian bapanya untuk menghadiri majlis perkahwinannya.

“Ini memang impian bapa untuk datang majlis saya. Sebenarnya persiapan majlis agak kelam kabut sejak tahu dia sakit. Jadi kami siapkan dalam tempoh sebulan.

“Saya buat semuanya untuk dia tengok saya kahwin. Kita sudah rancang macam-macam untuk dia. Namun, Allah sudah aturkan semuanya,” katanya.

Terdahulu, Aman dan isteri yang juga pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nor Baizura Abdul Ghani, 33, selamat dinikahkan di kediaman pengantin perempuan di Batu 10, Kampung Melaka, Cheras, jam 10.35 pagi hari ini.

Pasangan pengantin dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Ghani Ilyas dengan disaksikan jurunikah Masjid Batu 10 Cheras, Abd Jalal Osman.

Aman menyerahkan mas kahwin RM300 beserta enam dulang hantaran dan dibalas lapan dulang daripada pihak perempuan. Pihak lelaki turut menyediakan hantaran berjumlah RM10,000.



Previous Post Next Post