Anuar Zain berjinak dalam perniagaan




Anuar Zain akan berada di Star Vendor Fest pada 25 Mei kelak.

Hampir 30 tahun bergelar anak seni, penyanyi popular Anuar Zain tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan melakukan sesuatu yang di luar bidang profesionnya, memandangkan dia tidak suka memberi fokus terhadap banyak perkara dalam satu masa.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perasaan ingin tahu terhadap dunia perniagaan mula terdetik dalam fikiran pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu. Kecenderungan tersebut bertambah kuat apabila kakaknya, Ziana Zain sudah memiliki produk sendiri.

Akhirnya, pada hujung tahun lalu, pelantun lagu Andainya Takdir itu memberanikan diri mengeluarkan produk penjagaan wajah yang diberi nama Allevier Serum sebagai percubaan sulung dalam dunia perniagaan.

Ditemui pada sidang akhbar Star Vendors Fest baru-baru ini, percubaan mengusahakan produk penjagaan wajah diputuskan berkait rapat dengan dirinya yang mementingkan penjagaan wajah. Pada masa sama, dia mahu mendorong kaum lelaki untuk tidak berasa kekok mengambil berat terhadap kesihatan kulit muka mereka.

KOSMO!: Apakah yang membuatkan anda memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan?

ANUAR: Sejujurnya, keputusan tersebut didorong sifat ingin tahu saya setelah lebih 30 tahun hanya tahu menyanyi. Saya tidak pernah mencuba sesuatu yang baharu, jadi saya tertanya-tanya apa perasaan melakukan perkara berbeza selain daripada mengadakan persembahan. Saya lihat kebanyakan artis zaman sekarang tampil dengan produk sendiri, jadi saya fikir mungkin saya juga boleh mencuba.

Jadi, apa pula yang membuatkan anda memutuskan produk penjagaan wajah sebagai percubaan pertama dalam perniagaan?

Produk saya diberi nama Allevier Serum iaitu serum yang membantu menjaga dan mengekalkan kelembapan kulit, sekali gus memastikan sentiasa tampak segar. Sebagai seorang artis, saya perlu sentiasa menjaga penampilan, maka serum ini sangat membantu. Bagi saya, impresi pertama itu angat penting. Menjadi lelaki tidak bermakna boleh culas soal penjagaan kulit wajah.

Adakah anda juga ingin mendorong agar kaum lelaki juga lebih teliti dengan penjagaan wajah?

Ya. Sebabnya, dahulu saya juga segan untuk membeli barangan penjagaan muka secara terang-terangan dan sering meminta orang lain yang belikan.

Kemudian, apabila tiba pada satu tahap, saya terfikir sampai bila perlu ada perasaan begitu. Apa salahnya jika saya mementingkan penjagaan wajah. Jadi saya mahu tekankan, lelaki juga perlu ambil berat soal ini.

Ini kali pertama anda menyertai festival atau karnival jualan raya seperti Star Vendors Fest, bagaimanakah persediaan anda?

Saya agak gementar. Saya tahu, kebiasaannya pada karnival seperti ini, artis akan beraksi dengan kecoh dan riuh. Saya hanya akan menjadi diri sendiri dan cuba menjual produk itu sebaik mungkin.

Saya akan berada di Star Vendor Fest pada 25 Mei nanti. Sesiapa yang membeli serum saya akan berpeluang beramah mesra dengan saya.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kerjaya seni anda?

Sekarang saya masih dalam proses mencari material untuk album terbaharu yang mungkin akan dilancarkan pertengahan tahun hadapan. Baru-baru ini, saya mulai jatuh cinta dengan irama balada lagu-lagu dari Korea Selatan dan mahu menyelitkan elemen itu dalam single baharu nanti. Jadi, jika ada mana-mana komposer yang mahu tawarkan lagu sebegitu kepada saya, silakan kerana saya sedang menanti.


Previous Post Next Post