
Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mendedahkan pernah terfikir untuk membunuh diri kerana berdepan dengan masalah kemurungan.
Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, 27, berkata, dia berdepan masalah kemurungan itu Februari tahun lalu.
“Saya pernah terfikir untuk bunuh diri disebabkan berdepan kemurungan yang disebabkan masalah putus cinta, keluarga dan bebanan kerjaya.
“Saya berasa sangat sunyi tiada tempat mengadu. Mujurlah saya berkongsi masalah dengan ibu dan mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri,” katanya ketika ketika ditemui pada persembahan Minggu Setiausaha Aero di sini hari ini.
Menurut Cakra, akibat kemurungan, dia mengalami penurunan berat badan yang mendadak daripada 70 kilogram (kg) ke 57kg.
“Saya hilang selera makan dan lebih suka menyendiri di rumah. Kalau keluar pun atas alasan berkerja namun memang tiada semangat dan ingin mengalah daripada segala-galanya dalam hidup.
“Bagaimanapun, keadaan saya sekarang sudah semakin pulih. Ibu banyak memberikan sokongan dan suntikan semangat untuk saya meneruskan kehidupan,” katanya.
Ujarnya lagi, dia masih mendapatkan rawatan berkala bersama pakar psikiatri untuk merawat masalah kemurungannya itu.