Elyana kalis soalan mati




Konsert sulung Elyana pada 6 Julai depan mempunyai makna tersendiri apabila dia bakal meraikan ulang tahun ke-19 kariernya dalam industri dan dalam masa sama mengumpul dana buat pesakit kanser.

'Bila mahu mati?' Itu adalah soalan yang paling kerap dilemparkan kepada penyanyi Elyana yang kini sedang bertarung dengan kanser limfoma tahap empat sejak sembilan tahun lalu.

Hanya kerana dia sering menunjukkan dirinya cergas dalam media sosial, ramai yang menyangka dia sudah pulih atau berpura-pura sakit untuk menagih simpati orang ramai.

Pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal ini hanya mampu tersenyum saat diajukan soalan hidup mati saban hari kerana jiwanya sudah lali.

Meskipun tidak tahu apakah kesalahan yang dilakukan sehingga menjengkelkan orang di luar sana, Elyana memilih untuk tidak mempedulikan komen negatif yang hanya akan menambah mudarat penyakitnya.

“Saya pun tidak faham kenapa orang tergamak bertanya soalan seperti itu kepada sesiapa sahaja termasuk saya.

“Pada mulanya, saya sedih dan sangat tertekan dengan soalan sebegitu, namun lama-kelamaan saya reda. Biarlah Allah sahaja yang membalasnya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar konsert Elyana:Jadi Diriku 19 Live In Concert di The Red Box, The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukti

Oleh sebab itu, bagi membuktikan bahawa kesakitan yang menghantuinya tidak pernah menjadi penghalang Elyana daripada menjalani hidup seperti biasa, dia bakal tampil dengan konsert sulung pada 6 Julai depan.

Selepas hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni, inilah kali pertama anak kelahiran Selangor itu berpeluang mengadakan konsert solo dan lebih manis tujuannya untuk membantu pesakit kanser lain.

Selain meraikan ulang tahun ke-19 Elyana dalam industri, konsert berkenaan diadakan untuk mengumpul dana bagi disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Pada masa sama, Elyana turut berharap konsert tersebut dapat memberi inspirasi kepada semua yang menghidap penyakit kronik di luar sana untuk terus berjuang.

“Sakit bukan pengakhiran hidup. Memang ujian ini tidak mudah, tetapi kita tidak boleh menyerah begitu sahaja. Saya mahu menjadi bukti bahawa pesakit kanser juga boleh dan layak berbahagia.

“Saya banyak menerima mesej daripada mereka yang mempunyai sakit kronik dalam laman sosial yang bertanya bolehkah mereka hidup seperti orang lain. Insya-Allah, pada 6 Julai nanti saya akan buktikan bahawa pesakit kanser limfoma tahap empat ini boleh lakukan apa yang dimahukan dan sakit bukan alasan untuk berhenti menikmati hidup,” tegasnya panjang lebar.

Bakal berlangsung di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara, Selangor yang boleh memuatkan penonton sehingga 1,000 orang pada satu masa. Tiket konsert selama satu jam setengah itu akan mulai dijual pada 24 April ini di laman web, www.shopee.com.my.

Tunda

Bercerita lanjut tentang konsert perdananya itu, pelantun Kalis Rindu itu memberitahu, biarpun masih berbaki tiga bulan, namun persediaan terutama dari segi fizikal telah bermula.

Tambah Elyana, dia sedar mungkin tenaga dan kelincahannya di atas pentas tidak segagah dahulu, tetapi dia akan cuba sedaya upaya untuk kekal cergas sepanjang tempoh sejam setengah itu.

“Stamina saya memang tidak seperti dulu, sebab itu saya letakkan nama konsert Jadi Diriku kerana apa yang saya mampu beri pada malam tersebut, itulah diri saya sekarang. Setakat ini, perancangan saya adalah membuat latihan gimnasium dan banyak berlatih bermain badminton.

“Doktor saya juga belum tahu akan rancangan konsert ini, tetapi saya yakin, dia akan memberi pelepasan kerana persembahan ini akan membantu membuatkan saya berasa gembira,” terangnya.

Dalam pada itu, ibu kepada Cinta Sumayyah, 8, itu turut meluahkan rasa syukur kerana suami, Khairul Anuar Hussin dan keluarga memberikan sokongan penuh saat dia meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert.

Katanya lagi, dia sanggup menunda rawatan kimoterapi yang sepatutnya dijalankan bulan hadapan kerana mahu memberi fokus kepada persediaan konsert akan datang.

“Mungkin orang akan ingat saya gila kerana tidak mahu menjalani rawatan, tetapi pada pendapat saya melakukan sesuatu yang kita cinta juga salah satu daripada proses rawatan.

“Lain orang lain caranya. Saya sudah tidak boleh terperuk di rumah dan berasa kasihan dengan diri sendiri. Saya berharap konsert ini boleh membantu mengurangkan rasa sakit dengan cara tersendiri,” tuturnya sambil tersenyum penuh makna.



Previous Post Next Post