Lima tahun berkelana dalam dunia lakonan, bukanlah satu tempoh yang singkat. Namun, buat pelakon Mimi Lana dia mengakui masih bertatih dalam bidang penuh glamor itu.
Meski terpaksa mengharungi liku dan mengambil tempoh yang panjang untuk kehadirannya disedari khalayak, Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin tidak pernah berputus asa.
Memegang prinsip mahu dikenali kerana bakat bukannya populariti, pelakon berusia 24 tahun itu enggan menggunakan jalan pintas untuk dikenali ramai. Sebaliknya, bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 yakin bakat yang dimiliki mampu memanjangkan jangka hayat karier seninya.
“Alhamdulillah, sepanjang lima tahun berada dalam industri saya diterima baik dan menerima pelbagai watak daripada pengarah.
“Saya tidak berada dalam industri ini untuk mengejar populariti, sebaliknya bersedia dan terbuka menimba ilmu berkaitan dunia lakonan supaya dapat dijadikan bekalan demi kelangsungan karier,” katanya optimis ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta kempen Ramadan Raya Media Prima Berhad baru-baru ini.
Berkongsi mengenai kedudukannya dalam industri, tanpa berfikir panjang anak kelahiran Taiping, Perak itu dengan pantas mengklasifikasikan dirinya sebagai pelakon yang tidak popular.
Tegasnya, biarpun agak berpengalaman dan dikenali ramai pekerja industri kerana telah bekerja dalam bidang lakonan sejak 2014, Mimi enggan meletakkan dirinya dalam zon selesa.
“Saya bernasib baik kerana sepanjang lima tahun tawaran lakonan tidak pernah putus. Namun, saya tidak pernah menyifatkan kesemua rezeki itu sebagai bukti saya mempunyai tempat kukuh dalam industri.
“Fokus saya adalah bekerja dan memberikan hasil seni yang terbaik untuk kekal dalam industri. Apa yang pasti, selama lima tahun ini saya tidak pernah bosan dengan dunia lakonan. Ini cinta saya,” luahnya jujur.
Impian
Berkat kesungguhannya, Mimi akhirnya mendapat peluang keemasan apabila berpeluang berlakon di bawah pengarah yang kini menjadi dambaan ramai anak seni iaitu Shahrulezad Mohameddin menerusi drama rantaian Cari Aku Di Syurga.
Drama sebanyak 15 episod itu menggandingkan Mimi bersama dua pelakon popular, Ariel Zafrel dan Janna Nick.
Sungguhpun skrip drama tersebut masih dalam pembikinan jelas Mimi, dia bakal membawakan watak berbeza daripada karya yang pernah dijayakan sebelum ini.
“Saya dapat merasakan beban berlakon dalam drama Cari Aku Di Syurga kerana berada di bawah pengarahan Shahrulezad. Saya yakin pasti ramai yang menantikan drama ini berikutan fenomena karya Nur arahannya.
“Tidak dinafikan sebagai pelakon saya teruja kerana akhirnya dapat berlakon di bawah Shahrulezad yang saya sifatkan sebagai pengarah genius. Peluang seumpama ini adalah rezeki dan impian menjadi kenyataan,” ujarnya.
Sama seperti kebanyakan pelakon yang lain Mimi turut memasang impian untuk menjayakan watak berat agar bakat lakonannya lebih terserlah.
Antara yang diimpikan adalah terlibat dalam sebuah naskhah epik dan melakonkan watak seperti Puteri Gunung Ledang yang pernah dijayakan oleh Puan Seri Tiara Jacquelina.
“Saya tidak mahu berada pada tahap yang sama dalam dunia lakonan tanpa mencabar keupayaan diri. Jika berkongsi mengenai watak impian, saya ingin terlibat dalam karya epik.
“Antara yang menarik minat adalah karakter seperti Puteri Gunung Ledang. Saya sedar watak berkenaan sukar dibawa, tetapi itu adalah cabaran yang saya dambakan,” getusnya.
Tambah Mimi, biarpun bersikap terbuka untuk bekerja dengan mana-mana pengarah, kekuatan skrip sesebuah karya masih menjadi sandaran utamanya sebelum bersetuju membawakan watak yang ditawarkan.
Meski bersikap selektif, Mimi yakin prinsip yang menjadi pegangannya tidak akan menyekat peluangnya mencipta nama. Tegasnya, setiap pelakon perlu memiliki pendirian dan pilihan tersendiri.
“Sebagai pelakon baharu saya lebih tertarik untuk menjayakan watak berat yang menuntut saya mencabar keupayaan diri ketika berada di set penggambaran.
“Saya tidak mahu dilihat sebagai pelakon mendatar yang tidak berupaya menjayakan pelbagai watak seperti mana tuntutan skrip dan pengarah. Saya masih dalam proses belajar dan menuntut ilmu melalui kesemua watak yang diberikan,” ujarnya.
Duta
Setelah lima tahun, buat julung kalinya, Mimi dilantik sebagai duta kempen Ramadan Raya Media Prima Berhad bertemakan #SetulusIkhlas.
Kali pertama menggalas tanggungjawab sebagai duta dan diberi kepercayaan melaksanakan tugasan tersebut, Mimi dijangka terlibat dalam pelbagai aktiviti di bawah kendalian rangkaian televisyen berkenaan.
Mimi yang juga duta produk kecantikan, Nivea Visage Malaysia berkata, program seninya padat sepanjang Ramadan sehingga kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
“Penglibatan sebagai duta kempen Ramadan Raya Media Prima adalah sebahagian daripada peranan saya bersama Nivea.
“Sudah tentu saya bersyukur dengan pelantikan ini dan tidak sabar bertemu dengan peminat serta melakukan kerja amal yang telah disusun,” jelasnya.
Tambah Mimi, sebagai duta, dia akan turut turun padang berniaga di bazar Ramadan terpilih sekitar Lembah Klang yang bakal dikongsikan kelak.
“Saya akan kongsikan maklumat berkaitan program ini menerusi kesemua platform media sosial peribadi,” katanya.