
Salah satu koleksi selendang sifon yang dikeluarkan Nabaela Scarf.
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali melangkah setapak dalam melebarkan sayap kariernya apabila menceburi bidang perniagaan dengan melancarkan koleksi tudung Nabaela Scarf.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 27, berkata, idea mengeluarkan koleksi tudung jenama sendiri timbul selepas menerima banyak permintaan daripada peminat yang mahu mengikuti gaya tudung yang dipakainya.
“Ini adalah masa terbaik untuk saya menceburi bidang perniagaan dan tudung adalah produk yang paling sesuai dengan saya.
“Saya seorang yang cerewet tentang kualiti tudung dan sejujurnya sukar mencari material yang betul-betul memenuhi apa yang saya mahukan.
“Malah perniagaan ini juga membolehkan saya berkongsi dengan peminat tentang jenis tudung apa yang saya pakai setiap hari,” ujarnya.
Nabaela Scarf menampilkan dua koleksi iaitu Bawal Bae dan Cumi-Cumi Shawl untuk keluaran pertama.
Lebih menarik, harga ditawarkan berpatutan dengan kualiti yang sangat memuaskan pembeli. Ia juga mudah dibentuk dan terletak kemas apabila dipakai dengan pelbagai gaya.
“Saya pastikan tudung ini direka mengikut cita rasa sendiri iaitu jahitan yang kemas dan mudah dibentuk.
“Kami menggunakan material jenis sifon bagi koleksi selendang, manakala tudung bawal menggunakan material kapas jenis voile,” ujarnya.
Koleksi tudung Nabaela Scarf juga didatangkan dengan pilihan warna pastel yang sesuai dengan cita rasa pelbagai lapisan umur.
Nabaela Scarf boleh didapati dengan harga mampu milik bermula Rm49.90 secara dalam talian di laman sosial Instagram @nabaelascarf.