Penerbit Datuk A. Aida enggan memberi komen lanjut mengenai laporan bekas suaminya disiasat polis atas kes kehilangan wang miliknya berjumlah RM200,000 baru-baru ini.
Menurut A. Aida, dia sedar mengenai siasatan yang dibuat terhadap Ariff Aziz tetapi menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes itu.
“Saya ada dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penahanan Ariff. Tetapi saya tidak mahu komen lebih sebab ia masih dalam proses siasatan.
“Cuma saya sangat berharap agar si pelaku menerima hukuman yang setimpal. Sebab ini bukan kes kecil tetapi mencuri melibatkan satu jumlah wang yang besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ariff, 30, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang ketika hadir memberikan keterangan berhubung kes yang dilaporkan, manakala telefon bimbit miliknya turut dirampas.
Terdahulu pada Rabu lalu, A. Aida mendedahkan dia mengalami kerugian wang sebanyak RM200,000 selepas dicuri seseorang.
Perkara itu hanya disedarinya selepas pulang bercuti dari Mesir pada 1 Mac lalu.
Sementara itu, tambah A. Aida, dia tetap mahu balasan setimpal diterima si pelaku walaupun siasatan polis kelak membuktikan individu tersebut adalah Ariff yang pernah menjadi suaminya sendiri.
“Tiada kaitan pun dengan status suami atau isteri yang pernah kami ada sebelum ini. Sebab ini bukan soal meminta tetapi mencuri.
“Apa perasaannya kalau kita berdepan dengan kehilangan wang dalam jumlah sebanyak itu. Orang seperti inikah yang layak ada dalam hidup kita. Itu tandanya mereka tidak pandai bersyukur,” katanya.
Terdahulu, A. Aida dan Ariff yang mendirikan rumah tangga pada 21 Julai tahun lepas memilih untuk mengakhiri perkahwinan mereka secara baik pada 25 April lalu.