Penyanyi, Abd Rahman 3 Juara menjelaskan single pertamanya, Dunia Ku Tawan yang dikatakan 'menciplak' lagu nyanyian penyanyi dangdut Indonesia, Nassar sebenarnya dihasilkan dalam dua versi berbeza.
Menurut pemilik nama sebenar Abdul Rah'man Mahadi, 28, lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah itu dihasilkan dalam dua versi iaitu versi Malaysia berjudul Dunia Ku Tawan dan versi Indonesia menggunakan judul Puteri Impian.
"Tiada istilah ciplak sebenarnya kerana lagu Dunia Ku Tawan adalah lagu yang dihasilkan oleh Pak Ngah. Kalau tak salah, pada 2015, lagu ini pernah dirakamkan oleh Nassar dan penerbitnya adalah, bekas isterinya, Muzdalifah.
"Namun, mereka bercerai sebelum lagu ini diterbitkan dan Muzdalifah enggan menerbitkannya. Kerana itu, Pak Ngah meminta izin daripada Muzdalifah untuk mengambil semula lagu ini dan diberikan kepada saya pada 2017," katanya.
Kata bekas peserta program 3 Juara terbitan TV3 itu lagi, selepas menyiapkan susunan semula lagu itu dalam versi lebih segar, Nassar sekali lagu menghubungi Pak Ngah pada tahun lalu dan mahukan semula lagu itu.
"Jadi, Pak Ngah berikan syarat sekiranya dia mahukan lagu ini, ia perlu dihasilkan dalam dua versi iaitu versi Malaysia dan Indonesia, dengan susunan muzik serta laras bahasa yang berbeza.
"Nassar bersetuju dan terbitkan semula lagu ini pada tahun lalu. Kerana itulah ramai peminat Indonesia mengatakan lagu ini adalah lagu ciplak, sedangkan ia adalah karya yang mendapat persetujuan kedua belah pihak antara Pak Ngah dan Nassar," katanya.
Dunia Ku Tawan dirakamkan oleh Rah'man pada 2017 dan menjadi satu daripada beberapa karya terakhir ciptaan Pak Ngah sebelum dia meninggal dunia pada September tahun lalu.
Karya berentak 'world music' ciptaan Pak Ngah itu juga mendapat sentuhan lirik daripada penulis lirik Siso untuk kedua-dua versi Malaysia dan Indonesia.