Isteri kepada pelakon Ammar Alfian, Nelissa Nezam mendedahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mei lalu.
Nelissa yang kini sarat hamil sembilan bulan berkata, walaupun tidak tinggal sebumbung, tetapi hubungan mereka masih sebagai suami isteri.
"Saya rasa semua sedia maklum mengenai masalah rumah tangga kami, cuma sekarang saya mahu fokus dengan kandungan bayi saya yang akan dilahirkan tidak lama lagi.
"Apa yang boleh saya katakan, kami sekarang sudah tidak tinggal bersama tetapi masih lagi suami isteri. Kami akan menyelesaikan masalah ini selepas bayi kami dilahirkan nanti," katanya.
Menurut Nelissa, keluarga dan rakan-rakan antara individu yang sentiasa memberikan semangat supaya dia kuat menghadapi dugaan yang berlaku.
“Sudah tentu ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi saya bagi memastikan saya berada dalam keadaan baik.
“Saya juga tidak mahu memberi tekanan kepada diri mengenai isu rumah tangga ini,” katanya.
Terdahulu, Nelissa mendedahkan perbualan WhatsApp dengan Ammar di Instagram Story yang membuktikan pelakon itu berlaku curang terhadapnya.
Nelissa turut mendakwa suaminya curang ketika dia hamil enam bulan.