Durian Uniknya Si Raja Buah




Jika setiap kali tiba musim durian pastinya kita sering melihat pelbagai jenis durian seperti durian kampung, Musang King (D197), Udang Merah (D175) dan D24 terdapat di jual di kedai-kedai dan di tepi jalan. Namun begitu, sebenarnya di Malaysia terdapat kira-kira 200 jenis durian yang mempunyai pelbagai jenis rasa, bentuk, warna dan ciri-ciri khas tersendiri.

Untuk ruangan kali ini Rencam menyenaraikan 10 jenis buah durian yang sangat popular dan sering mendapat permintaan tinggi di seluruh negara setiap kali tiba musim raja buah ini.



1. Durian Musang King (D197)

Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit mempunyai isi yang berwarna kuning keemasan, berkilat dan tebal. Tekstur isinya pula cukup halus, melekit dan berkrim, manakala rasanya lemak manis, sedikit pahit dan mempunyai aroma yang kuat.


Meskipun harga Musang King agak mahal iaitu bermula sekitar RM50 sekilogram atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada jenis durian yang lain, permintaan terhadap durian jenis ini sangat tinggi dan sering menjadi buruan peminat durian dalam dan luar negara.

2. Durian Musang Queen (D160)

Jika ada ‘king’ sudah pasti ada ‘queen’ tetapi ramai yang tidak tahu durian Musang King mempunyai pasangannya iaitu Musang Queen. Nama asal durian ini adalah durian Tekka atau Buluh Bawah sebelum dijenamakan semula kepada durian Musang Queen beberapa tahun lalu.

Isinya berwarna kekuningan, tebal dan teksturnya halus pekat manakala rasanya lemak manis, pahit dan bergas. Selain itu, baunya juga sangat kuat dan memiliki ulas yang agak besar.



3. Durian D24

Klon durian D24 atau turut dikenali sebagai durian Bukit Merah telah didaftarkan pada 30 November 1937. Berasal dari Bukit Merah, Perak bentuk buah durian ini bulat dengan warna kulit yang kehijauan dan mempunyai duri yang tajam.

Gabungan rasa manis, pahit dan lemak ini menjadikan durian D24 sangat istimewa kepada penggemar buah durian.

4. Durian Hajah Hasmah (D168)

Jika disebut nama durian Hajah Hasmah mungkin ramai yang tidak mengenalinya. Durian Hajah Hasmah yang lebih dikenali sebagai durian IOI antara jenis durian yang paling terkenal di Malaysia. Durian ini yang berasal dari Muar, Johor telah didaftarkan pada 24 Mei 1989.

Dari segi bentuknya, buah durian jenis ini bersaiz sederhana besar dan berbentuk bulat dengan warna kulit hijau keperangan. Selain mempunyai tangkai yang agak pendek dan kecil, purata berat IOI ialah sekitar 1.5 kilogram (kg). Isinya pula berukuran sederhana besar, memiliki tekstur yang pejal dan berwarna kekuningan.

5. Durian Udang Merah (D175)

Durian Udang Merah memang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan peminat durian. Durian ini yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang merupakan antara durian yang terbaik dari segi rasanya.

Buah durian jenis ini mempunyai saiz yang sederhana besar iaitu antara 1.5 kg hingga tiga kg. Kulitnya pula berwarna hijau perang dan mempunyai duri yang pendek. Isinya berwarna kuning, tebal, lembek dan rasanya pula agak lemak manis.



Bentuk unik durian Duri Hitam yang mempunyai tanda hitam di hujung durinya

6. Durian Duri Hitam (D200)

Kalau ada yang merasakan durian Musang King paling lazat dan sedap, apa kata cuba durian Duri Hitam pula. Jika harga Musang King boleh mencecah sekitar RM50 sekilogram, harga Duri Hitam juga tidak kurang bezanya. Berat setiap Duri Hitam adalah sekitar 1.5 hingga dua kg dan harganya boleh mencecah RM110 sekilogram bagi pasaran tempatan dan lebih RM300 bagi pasaran antarabangsa.

Keunikan durian jenis ialah selain memiliki buah berwarna hijau keperangan, di hujung durinya terdapat tanda berwarna hitam yang tidak terdapat pada durian jenis-jenis lain. Dari segi rasa pula, selain mempunyai warna kuning keemasan rasanya juga agak manis, lemak berkrim dan sedikit pahit.

7. Durian Kop Kecil (D99)

Durian jenis ini yang dipercayai berasal dari Thailand telah didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 17 Jun 1970. Secara purata sebiji durian Kop Kecil mempunyai berat sekitar 2.5 kg dan mempunyai isi sederhana tebal yang berwarna kuning.

8. Durian Chanee (D123)

Antara jenis durian yang berada di kedudukan teratas di Malaysia ialah durian Chanee. Dari segi bentuk, durian ini mempunyai saiz buah yang agak besar dan panjang manakala kulitnya pula berwarna hijau perang dan berduri kasar.

9. Durian Kan Yau (D158)

Durian ini berasal dari Thailand. Nama popularnya ‘Kan Yau’ atau Tangkai Panjang dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987.

Secara umumnya, buah durian jenis ini yang berbentuk bulat bujur, berduri pendek dan mempunyai duri halus bergabung di bahagian keliling tangkai buah memiliki saiz sederhana besar dengan purata berat di antara dua hingga empat kg sebiji.

10. Durian Kampung atau durian asli

Meskipun tidak dapat menandingi populariti durian Musang King dan Udang Merah, durian kampung atau durian asli juga mempunyai peminat tersendiri apabila tiba musim durian. Dari segi harga, durian 
jenis ini paling murah jika dibandingkan dengan yang lain kerana kualitinya tidak dijamin dan bergantung kepada nasib. Ada yang dapat isi manis dan tebal tetapi ada juga yang mendapat isi yang tawar atau pahit sahaja.

Previous Post Next Post