Hazama jawab isu basah dalam klip video




Industri muzik telah melahirkan nama Hazama. Pemilik nama penuh, Hazama Ahmad Azmi ini mula diperkenalkan di persada muzik ketika berusia 20 tahun apabila dia tersenarai sebagai salah seorang calon awal untuk program realiti Akademi Fantasia Musim 4 (AF4) pada tahun 2006.

Namun, dia hanya mula menempa nama sebagai penyanyi terkenal selepas berpeluang kembali memasuki gelanggang AF menerusi AF9.

Selepas bergelar juara AF9, populariti Hazama sebagai penyanyi mula menggunung, khususnya selepas dirinya dilamar untuk merakamkan album sulung; dan salah satu projek pertamanya adalah merakamkan lagu single secara duet bersama pengetua AF9, Amy Search untuk lagu rock berjudul, Simetri.

Pendek kata, nama Hazama bersinar terang menerusi dunia nyanyian tetapi apa sudah jadi, apabila sepanjang tahun ini, dia hanya muncul dengan hanya sebuah lagu yang berjudul Peneman?

Adakah disebabkan Hazama kini kembali sibuk sebagai mentor untuk musim terbaharu Mentor Milenia 2019?

Dalam pada itu, khabarnya pelantun lagu hit, Relakan Jiwa dan Penglipurlara ini telah disaman polis di Phuket, Thailand ketika berkunjung ke sana baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hazama yang cuba menyelongkar apakah sebenarnya di sebalik kenapa Hazama kini kurang aktif dalam dunia muzik tetapi sebaliknya lebih banyak berlakon.

Dia juga menitipkan jawapan tentang kejadian dirinya disaman di Thailand.

Lebih hangat, Hazama menjawab isu dirinya yang muncul ‘basah’ dalam klip video lagu Peneman.


Tahun ini, Hazama seperti kurang aktif dalam dunia muzik khususnya muncul dengan hanya single berjudul, Peneman dan sebaliknya lebih banyak terlibat dengan lakonan, boleh jelaskan?

Hazama: Saya berlakon sebab ingin asah kemampuan. Ada banyak ruang yang boleh saya perbaiki sebagai seorang anak seni. Antara projek lakonan yang akan muncul tidak lama lagi ialah (filem) Marabahaya Underground dan Coast Guard. Saya tidak boleh menidakkan rezeki Allah. Dia bagi kita rezeki, kita ambil dan jangan kufur nikmat. Lagipun sekarang, saya tidak banyak komitmen kerja lain.

Sibuk dengan projek lakonan, bagaimana pula dengan nyanyian?

Memang tahun ini, saya muncul dengan single Peneman sahaja. Saya rasa, orang sudah tahu saya boleh menyanyi (ketawa). Apa lagi saya mahu buat? Bagaimanapun, peganglah janji saya bahawa selagi hidup, saya pasti akan keluarkan lagu. Buat masa sekarang, saya tidak mahu terburu-buru. Kalau ada lagu bertimbun-timbun di pasaran, takut nanti orang bosan dan keliru pula.

Menyentuh pula mengenai kemunculan Hazama dalam Mentor Milenia 2019 sebagai mentor, apakah ciri protege yang anda cari?

Saya mencari penyanyi yang ada kesungguhan, keyakinan dan matlamat. Insya-Allah, saya akan membantu tidak kira apa genre muziknya. Tugas saya adalah untuk membimbing dan saya perlu tekankan kepada bakal protege nanti supaya bersaing dengan diri sendiri, bukan dengan orang lain. Apa yang paling penting adalah kemahuan untuk belajar dan mengutip pengalaman.

Khabarnya Hazama disaman polis di Phuket, Thailand ketika berkunjung ke sana berkenaan baru-baru ini? Boleh ceritakan.

Tidaklah, saya bukan buat jenayah besar di sana. Cuma, saya secara tidak sengaja meletakkan motosikal di kawasan larangan parkir. Jadi, saya perlu ke balai polis dan bayar saman, baru selesai. Saya bayar saman sebanyak 500 Baht (RM66.55). Sebenarnya, sejak kahwin dua tahun lepas, saya disekat untuk keluar negara kerana tidak bayar cukai.

Jadi, apabila sudah selesaikan urusan cukai, saya mengambil kesempatan untuk berbulan madu bersama isteri walaupun dekat sahaja iaitu di Phuket, Thailand. Sekarang, saya lega kerana nama sudah dikeluarkan daripada senarai hitam.

Ini pula tentang klip video lagu Peneman, ada babak Hazama ‘basah’ di dalam bilik air yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat. Apa komen anda?

Saya rasa orang memang tahu saya jenis yang ‘gila-gila’. Sebelum ini, dalam klip video Aku Bukan Dewa pun, saya tampil dengan imej bertatu dan rambut gaya dreadlock (bersimpul mati).

Kalau orang kata saya sengaja wujudkan isu, saya tiada masalah. Kita bekerja dalam industri seni ini memang untuk buat isu pun. Kalau tiada isu, tidak seronok (ketawa). Saya suka mengambil risiko asalkan mesej yang ingin disalurkan kepada peminat, sampai.

Previous Post Next Post