Mus tarik diri daripada May




Keputusan tersebut diambil disebabkan faktor kesihatan Mus yang tidak secergas dahulu.

Setelah lebih dua dekad bersama, vokalis rock, Mus May mengumumkan bahawa dia kini sudah menarik diri daripada kumpulan.

Mus atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 51, berkata, keputusan tersebut diambil disebabkan faktor kesihatannya yang tidak secergas dahulu.

“Saya bukan lagi anggota kumpulan May sejak Januari lalu dan persembahan terakhir saya bersama mereka adalah pada Disember 2018.

“Selepas ini, saya tidak akan lagi menggunakan nama Mus May dan masih dalam proses mencari nama baharu bagi persembahan solo akan datang,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Rockerstar di Biro Pelancongan Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kata Mus, tiada perbalahan yang timbul antara tiga anggota lain iaitu Man, Abu dan Yus, sebaliknya dia cuma menyedari hakikat sudah tidak lagi mampu membuat persembahan bagi tempoh lama di atas pentas seperti biasa terutamanya sejak jatuh sakit pada tahun lalu.

“Saya tidak mampu menyanyikan 10 buah lagi tanpa henti seperti dahulu lagi dan bagi saya, ia tidak adil buat ahli lain.

“Lama saya ambil masa fikirkan hal ini dan memang ia berlaku dengan agak drastik. Namun saya yakin, inilah yang terbaik untuk semua,”ujarnya lagi.

Mus merupakan anggota asal May sejak ditubuhkan pada 1986 hingga 1991 sebelum keluar sebentar dan kembali semula dalam kumpulan tersebut pada 2006 hingga 2018.

Pada tahun lalu, Mus dikejarkan ke Hospital Ampang akibat demam panas dan telah koma selama sebulan.

Previous Post Next Post