Gambar yang dimuat naik Nabila Razali memakai baju yang dikatakan terlalu jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Penyanyi Nabila Razali menganggap, kritikan netizen terhadap pakaiannya baru-baru ini sebagai nasihat untuk menjadikan dirinya lebih baik pada masa akan datang.
Pelantun lagu Pematah Hati itu berkata, dia tidak mahu cepat melenting, lebih-lebih lagi apabila membaca komen peminat pada gambar-gambarnya di Instagram.
“Apabila saya mahu berkongsi gambar di laman sosial, saya tidak pernah terfikir tentang perkara-perkara negatif yang akan disuarakan netizen selepas gambar tersebut dimuat naik.
“Namun, jika mereka rasakan apa yang saya muat naik tidak sesuai, saya akan cuba tidak mengulangi apa yang telah saya kongsikan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Nabila mengulas tentang komen netizen mengenai baju yang dikenakan baru-baru ini terlalu jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Tegas Nabila, dia mengenakan selapis lagi pakaian berwarna merah jambu sebelum menyarung blaus berona putih tersebut.
Dalam pada itu, Nabila berkata, dia mahu menjadikan akaun Instagramnya sebagai sebuah album yang variasi.
“Saya jadikan Instagram sebagai platform untuk berkongsi rutin harian saya sebagai penghibur.
“Justeru, apa yang saya rasakan sesuai, saya akan kongsi,” katanya lagi.
Sebelum ini, Nabila pernah dikritik kerana memuat naik gambar sedang memerah susu lembu sewaktu menjalani penggambaran sebuah program travelog di Australia.