
Nonny sebelum ini memilih untuk berdiam diri dan tidak menghubungi keluarga mahupun rakan-rakan baiknya.
Pelakon Nonny Nadirah meminta peminatnya untuk memberikan aura positif kepadanya selepas lebih setahun ‘berperang’ dengan emosi sendiri.
Menerusi akaun Instagramnya, Nonny berkata, turut meminta maaf kerana terlalu lama berdiam diri dan tidak menghubungi keluarga mahupun rakan-rakan baiknya.
“Saya minta maaf. Hakikatnya, saya tidak kuat.
“Ramai yang sayang saya, dan mengambil berat terhadap diri saya. Tetapi, saya terus diam. Namun, mereka tetap mencari saya dan menyokong saya,” katanya.
Tambah Nonny, dia turut menghubungi ibunya yang telah lama ditinggalkan tanpa khabar berita untuk meluahkan perasaan.
“Jumaat lalu, saya menghubungi ibu, saya menangis. Saya minta ampun dengannya kerana lama menghilang tanpa khabar berita.
“Saya bersyukur kerana Allah bagi ujian ini kepada saya. Saya istimewa, sebab itu Allah pilih saya untuk lalui ini semua,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nonny turut menegaskan, banyak perkara yang dipelajari sepanjang melalui dugaan yang diturunkan kepadanya itu.