Sufian bergambar bersama anak Faeq Razeeq.
Penyanyi lagu Di matamu, Sufian Suhaimi berkongsi berita gembira apabila bergelar bapa setelah mengambil anak angkat yang bernama Faeq Razeeq.
Menurut Sufian, bergelar bapa pada usia 27 tahun bukan satu masalah. Dia sebaliknya melihat status baharu tersebut sebagai anugerah yang paling berharga buat dirinya.
“Saya bersyukur dengan nikmat hidup ini. Allah cukup pemurah dalam melimpahkan rezeki kepada saya, begitu juga kepada yang lain.
“Usia 27 tahun bagi saya bukanlah terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada anak angkat saya,” tulisnya dalam satu dalam satu perkongsian menerusi Instagram.
Jika sebelum ini penyanyi itu bekerja keras untuk membahagiakan ibu bapa dan keluarganya, kini dia mendapat kekuatan baharu. Kehadiran Faeq Razeeq disifatkan amat bermakna dan menjadi pendorong semangat untuk bekerja lebih kuat.
Dalam pada itu, Sufian turut menolak dakwaan kononnya sedang menjalinkan cinta tetapi merasakan satu perasaan istimewa terhadap kanak-kanak. Buat masa ini dia hanya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada anak angkatnya.
“Banyak masa saya digunakan untuk melayan perasaan dan memikirkan apa yang kurang selama ini. Ada juga saya bercerita dan berkongsi dengan rakan-rakan tetapi melihat mereka yang sudah bergelar bapa seperti sudah penuh (sempurna).
“Belum tiba masanya untuk menamatkan zaman bujang, tetapi saya boleh rasakan ini adalah waktu yang tepat untuk mengambil seorang anak angkat. Itu juga satu rezeki,” ujar penyanyi itu yang turut membahasakan dirinya sebagai Ayah Yan kepada anak angkatnya.