Sufian telah memadam komen tersebut berikutan komen negatif yang ditinggalkan peminat terhadap pemilik akaun tersebut.
Dituduh sengaja berpenampilan selekeh kerana belum menerima hakikat dengan cinta lama oleh seorang mak cik bawang, penyanyi Sufian Suhaimi mempertahankan dirinya dengan membalas komen tersebut.
Dalam balasan komen, antara kenyataan yang ditinggalkan, selain mempertahankan foto itu dirakam selepas aktiviti menyelam laut, Sufian, 27, berkata, dia sudah lama move on dan boleh memiliki teman wanita bila-bila masa namun belum masanya lagi.
Komen tersebut bagaimanapun sudah dipadam Sufian kerana ramai netizen seperti 'menyerang' mak cik itu dengan komen-komen yang bersifat agak kasar.
"Sebenarnya, benda itu tidak patut diungkit pun. Sudah lama sangat cerita itu. Orang itu pun sudah nak ada anak.
"Kalau dia ingin cakap pasal penampilan atau suruh saya gembira, saya okey. Tapi kalau kaitkan seolah-olah imej 'selekeh' membuatkan orang lain rasa bersalah, itu yang saya terpanggil untuk balas komen mak cik tersebut supaya tiada lagi orang ungkit tentang hal seperti itu," kata Sufian yang ditemui Kosmo! Online pada acara Karisma Jelajah Suria di Central i-City, di sini semalam.
Menjawab mengapa dia memadam komen pedas kepada mak cik berkenaan, jawab pelantun lagu Di Matamu itu: "Banyak bahasa kasar yang dilontarkan terutama yang datang daripada generasi muda dan sudah menyimpang jauh.
"Saya rasa perkara itu biadap berlaku dalam laman sosial saya dan saya tidak suka perkara negatif," katanya.
Sufian sebelum ini pernah bertunang dengan aktres, Elfira Loy namun memutuskan tali pertunangan Februari tahun lalu.