Mizan bangga mewarisi bakat seni bapanya, Harry Khalifah.
Penyanyi baharu, Mizan, 14, yang juga anak kepada penyanyi dan komposer, Harry Khalifah tidak kisah dikatakan menumpang populariti bapanya apabila turut mengorak langkah dalam bidang seni.
Mizan atau nama sebenarnya, Ahmad Hamizan Ahmad Sairi Haslan, tidak menafikan, populariti bapanya sedikit sebanyak membantu kemunculan awalnya mendapat perhatian.
“Saya tidak kisah dikatakan menumpang populariti ayah. Saya tidak boleh lari daripada kenyataan itu kerana ayah memang dikenali ramai.
“Namun, sebagai penyanyi baharu, saya juga mahu dikenali atas kekuatan bakat dan keistimewaan diri. Terpulang apa orang mahu cakap kerana percubaan saya dalam bidang seni turut mendapat sokongan padu ayah,” katanya.
Mula mencipta nama menerusi lagu Ayah Ibu yang diperkenalkan pada awal tahun lalu, bakat Mizan semakin mendapat perhatian selepas muncul dengan single kedua, Keluhan Hati.
Dalam masa tiga bulan diperkenalkan di YouTube, video muzik lagu itu mencatat jumlah tontonan menghampiri tiga juta.
“Saya tidak menyangka, malah terkejut apabila lagu yang dirakamkan mendapat sambutan baik. Memandangkan usia pembabitan saya masih hijau, sokongan diberikan membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperkenalkan lagi bakat.
“Ada yang menganggap, saya dan bapa sedang berlumba-lumba menguasai carta tontonan di YouTube. Tidak pernah saya bayangkan ia akan berlaku, tambahan pula bapa sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri hiburan,” katanya.
Semakin selesa memperkenalkan bakat, Mizan bagaimanapun, berharap kemunculannya tidak disamakan dengan penyanyi remaja, Aiman Tino. Baginya, dia dan Aiman, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
“Ada yang berkata, suara saya seperti Aiman, tetapi sebenarnya tidak. Namun, saya tidak dapat menghalang orang ramai daripada berfikiran sedemikian kerana setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.
“Mungkin persamaan itu dilihat kerana genre muzik yang kami perjuangkan hampir sama. Tetapi, saya tidak mengalah kerana mempunyai banyak masa membuktikan kemampuan, memandangkan perjalanan seni saya baru bermula,” katanya.