Sam Bunkface Bergilir jaga anak




Sejak bercerai Januari lalu, penyanyi Bunkface, Sam, 31, tidak terlepas daripada pertanyaan mengenai calon pengganti.

Tidak marah atau melatah dengan pertanyaan itu, Sam berkata, dia pasti akan berkahwin cuma tidak tahu bila jodohnya akan tiba lagi.

“Siapa tak nak kahwin? Sudah tentu akan ada pengganti. Kalau ada rezeki, ada jodoh lagi, saya tidak menolak.

“Lagipun, berkahwin perkara yang baik, cuma saya tidak terburu-buru dalam soal itu. Saya selesa dengan kehidupan ini,” katanya ketika sidang media Konsert Hausboom Music 2019 di Saro Lounge, Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd Baharom, 31, merahsiakan perceraian dengan bekas isteri, Aida Azira Husin pada Januari lalu demi menjaga hak peribadi selain perasaan keluarga.

Walaupun sudah tidak mempunyai apa-apa ikatan dengan bekas isteri, Sam berkata, hubungan mereka baik dan profesional.

Ia semata-mata demi anak mereka, Maleeq, 3, dan Sam mahu memastikan Maleeq dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang.

“Kami juga bersyukur kerana dapat bergilir-gilir menjaga Maleeq. Kami tiada sebarang masalah kerana mahu beri sepenuh kasih sayang terhadap anak,” katanya.

Menurut Sam, perkahwinan terdahulu banyak mengajarnya menjadi lebih kuat dan bersabar walaupun pernah melalui kegagalan.

Sam berkata, dia kini menjalani kehidupan dengan penuh positif dan meneruskannya seperti biasa.


“Banyak sebenarnya saya belajar daripada kegagalan perkahwinan, antaranya kita perlu sentiasa bersabar dan apa pun yang terjadi, hidup perlu diteruskan,” katanya.

Bercerita mengenai konsert Haus Boom Music 2019 yang bakal berlangsung pada 10 November depan di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), Sam berkata, Bunkface bakal memberikan persembahan terbaik pada hari terbabit.

Dibarisi band terkenal tanah air seperti Hujan, Pop Shuvit, Gerhana Ska Cinta, K-Clique dan Budak Nakal Hujung Simpang, Sam berharap konsert terbabit dapat menarik seramai mungkin rakyat Malaysia terutama golongan muda yang menantikan gabungan unik itu.

“Saya lihat konsert ini gabungan yang sangat unik dan saya sendiri teruja untuk berkongsi pentas dengan band terkenal ini.

“Malah setiap genre diwakili kumpulan yang hebat dan popular. Kami tak sabar nak hiburkan penonton dan peminat nanti,” katanya.

Previous Post Next Post