Meskipun perkenalan penyanyi rap, SonaOne dengan Alif bermula ketika usianya 16 tahun, mereka hanya mula berkolaborasi sekitar setahun lalu.
Bukan tiada keserasian sebaliknya masing-masing menunggu masa yang sesuai selain mencari muzik terbaik.
“Kami mula berkawan pada usia 16 tahun. Ketika itu Alif baru sahaja menapak dalam industri seni bersama Sleeq, manakala saya pula belum berkecimpung dalam genre rap.
“Bagaimanapun, disebabkan kecintaan terhadap muzik yang serupa, kami kerap berkongsi pendapat.
“Komunikasi sangat penting kerana kami tidak iri hari atau mempunyai apa-apa muslihat, sebaliknya meluahkan semua yang terbuku di hati. Biarpun ada yang berpendapat sukar mencampuradukkan persahabatan dengan kerja, buat masa ini saya selesa bekerjasama dengan sahabat yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
“Malah, saya menjadikan Alif sebagai rujukan jika menghasilkan sesuatu produk kerana sikapnya yang jujur,” katanya.
SonaOne dan Alif mula berkolaborasi menerusi lagu Obvious. Selain itu, mereka mempunyai lebih 50 lagu dalam koleksi hasil perbincangan bersama.
SonaOne, yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu menerusi Apa Khabar (bersama Joe Flizzow), mahu lihat pemuzik lain sama-sama menghasilkan karya berkualiti dan memberi impak.
“Meskipun kebelakangan ini ramai mengatakan saya sering tampil dengan projek kolaborasi, saya okey saja. Sekurang-kurangnya, kerjaya seni saya tidak senyap begitu sahaja.
“Saya ada perancangan untuk menghasilkan album solo, malah empat lagu sudah dipilih untuk dimuatkan dalam album berkenaan.
“Saya lebih bersemangat untuk bekerja apabila berada bawah satu bumbung dengan beberapa rakan yang memperjuangkan genre sama. Selain berkongsi idea, saya berharap kolaborasi ini dapat mengembangkan lagi muzik hip hop,” katanya.
Beralih sisi peribadi, penyanyi berusia 30 tahun ini mengakui belum bertemu wanita pilihan hati kerana sibuk menghabiskan masa di studio rakaman.
SonaOne berkata, tiada perkara menarik dapat dikongsikan bersama peminat kerana kehidupan yang dilalui ketika ini amat membosankan.
“Kehidupan peribadi saya amat membosankan. Kalau boleh memang nak berkongsi berita gembira dengan semua tetapi jujur saya katakan, tahun ini masa saya banyak dihabiskan di studio.
“Bayangkan setiap hari saya bangun pagi, kemudian makan dan selepas itu berada di studio sehingga jam 3 pagi.
“Sampaikan berat badan juga makin susut. Saya rasa tahun ini fokus saya banyak di studio menyiapkan lagu dan mencari ilham,” katanya.
Beralih mengenai kehadiran penyanyi rap wanita seperti Zamaera yang mewarnai dunia muzik hip-hop, SonaOne berkata, dia tumpang gembira melihat kejayaan penyanyi itu.
“Saya gembira tengok dia semakin mendapat perhatian peminat muzik hip hop. Tidak dinafikan, kehadiran Zamaera memberi keyakinan kepada wanita lain yang meminati genre rap untuk keluar dan memperkenalkan muzik mereka.
“Sebagai contoh, penyanyi rap Bunga, Hullera dan Loca B antara wanita yang saya lihat menyerap aura dan keyakinan tinggi dimiliki Zamaera.
“Malah saya juga tidak malu untuk kongsi yang penyanyi rap wanita berkemampuan untuk rap seperti lelaki dan saya melihat Zamaera lebih hebat daripada beberapa penyanyi rap lelaki sedia ada,” katanya.