Pelakon, Syazwan Zulkifli mengakui status dikongsikan di Facebook miliknya semalam, yang menyentuh mengenai beli pengikut media sosial adalah sindiran semata-mata.
Menurutnya, dia bertindak menulis kenyataan sedemikian selepas dimaklumkan seorang rakan artis apabila ada berita mengatakan bahawa dirinya kurang menerima tawaran lakonan kerana tidak memiliki jumlah pengikut yang ramai di media sosial.
"Status itu adalah sindiran semata-mata. Baru-baru ini, rakan pelakon memaklumkan mengenai satu berita ditulis oleh media tempatan mengatakan saya antara pelakon yang tidak ramai pengikut di media sosial.
"Dalam artikel itu juga mengatakan bahawa jumlah pengikut yang tidak ramai menjadi punca kenapa saya kurang menerima tawaran berlakon," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Syazwan, dia sendiri tidak pasti sekiranya jumlah pengikut media sosial kini menjadi umpama 'ijazah' yang menjanjikan seseorang pelakon itu menerima tawaran lakonan.
"Saya tak pasti sama ada ia benar berlaku atau tidak kerana belum pernah berdepan dengan situasi itu atau punya pengalaman mengenainya," katanya.