Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menyambut hari jadi ke-33 semalam, berseorangan dan secara sederhana.
Sambil menyatakan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan nikmat hidup yang dikecapinya, Aliff menyampaikan penghargaan khusus kepada pihak yang selama ini setia bersamanya.
“Syukur Alhamdulillah kepada Allah kerana tahun ini genap umurku 33 tahun sudah terasa tua dan syukur kerana aku boleh merasai nikmat sihat, bahagia, nikmat bernafas dan masih bernyawa,” kata Aliff sambil berterima kasih menerusi laman Instagramnya.
Sempena hari jadinya itu, Aliff memohon kemaafan kepada semua pihak di atas salah dan silap selama ini kerana beliau tidak pasti bilakah ajal bakal menjemputnya nanti.
“Saya sendiri tidak tahu nyawa saya sampai bila dan semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini kerana saya yakin kalau saya jatuh tersungkur tidak ada orang yang akan tolong saya melainkan diri saya sendiri untuk bangkit dan kuat kembali untuk masa depan saya,” coret Aliff di hantaran itu.
Mengulas mengenai sambutan hari jadi yang sederhana, katanya kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa semua pihak perlu duduk di rumah sementera mufin Gardenia menggantikan kek dan hiasan belon itu disediakan oleh seorang pembantunya yang membuat kejutan semalam.
Sementara itu semalam Aliff mengakui turut terhimpit beban susulan isu Covid-19 yang melanda negara di samping sedih mengenangkan nasib hampir 11,000,000 orang yang kehilangan pendapatan dan menjadi miskin.
“Anda rasa..kalau saya jatuh susah dan miskin ada yang suka tak?” soal Aliff berserta kepilan foto beliau bersama tiga cahaya matanya.
Aliff yang dihimpit kontroversi susulan penyebaran surat tuntutan cerai didakwa difailkan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Sidek beberapa hari lalu bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu kepada media.
Kisah hidup yang dipaparkan menerusi laman sosial dan keengganan kedua-dua belah pihak menjelaskan keadaan mengukuhkan lagi spekulasi keretakan hubungan rumah tangga yang dibina mereka selama hampir 13 tahun.