Wabak Covid-19 nampaknya semakin ‘mengganas’ dan menyerang hampir seluruh dunia.
Di Malaysia, kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal situasi dan cuba sedaya upaya untuk memutuskan penularan pandemik itu.
Bagi penyanyi, Baby Shima, dia juga tak terlepas daripada kebimbangan, lebih-lebih lagi apabila dia kini berada di Jakarta, Indonesia, manakala keluarganya di Malaysia.
Shima yang popular menerusi lagu Pura Pura Bujang ini berkata, dia sendiri cuba untuk kerap berhubung dengan keluarganya menerusi telefon.
“Tipulah kalau saya cakap, saya tak risaukan keadaan keluarga di Malaysia lebih-lebih lagi dengan situasi krisis seperti sekarang.
“Mujurlah dengan adanya teknologi, kami masih lagi dapat berhubung walaupun terpisah dengan jarak dan alhamdulillah, mereka sentiasa memaklumkan saya mengenai perkembangan terkini dan keadaan mereka,” katanya.
Shima berkata, dia juga sentiasa meyakinkan keluarganya bahawa dia tahu menjaga diri.
“Itu sedikit sebanyak tak membuatkan mereka risau kerana mereka tahu, walaupun saya berada di tempat orang, saya tahu menjaga diri. Lagipun, Jakarta sudah menjadi rumah kedua saya memandangkan saya memang bekerja dan mencari rezeki di sini,” katanya.
Berkongsi mengenai keadaan di Jakarta, Shima memaklumkan bahawa situasinya tak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia.
“Kalau di Malaysia, kerajaan keluarkan PKP. Kalau di sini, mereka gunakan terma lockdown atau penguncian, tapi prosesnya sama juga seperti PKP di Malaysia.
“Kami di sini masih lagi dibenarkan keluar dari rumah sekiranya perlu untuk membeli barang keperluan harian dan sebagainya,” katanya.
Menurut Shima yang berada di Jakarta sejak awal Februari lalu, pihak berkuasa di sana juga semakin tegas dalam memastikan keselamatan rakyatnya.
“Kalau sebelum ini, Jakarta cukup dikenali sebagai ibu kota padat dan sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas, sekarang jalan raya nampaknya sudah semakin lengang.
“Sebelum ini, ada juga rakyat yang masih berdegil dan keluar dari rumah. Tapi, baru-baru ini saya tonton video pihak berkuasa menyerbu satu majlis kenduri dan mengarahkan semua yang berada di situ pulang.
“Di situ, saya dapat lihat bahawa pihak berkuasa Indonesia semakin tegas dalam memastikan rakyatnya patuh kepada arahan selepas jumlah jangkitan dan kematian semakin meningkat,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan karier seninya di Indonesia, Shima berkata, dia sepatutnya melancarkan lagu baru yang dijadualkan selepas Aidilfitri.
“Saya sudah rakamkan lagu baru sebelum Covid-19 menular, cuma video muzik dan beberapa sesi fotografi belum sempat disiapkan. Kalau mengikut jadual asal, lagu baru yang belum ada judul ini sepatutnya dilancarkan selepas Aidilfitri. Tapi, melihatkan keadaan situasi sekarang, berkemungkinan besar ia akan ditunda ke tarikh lain,” katanya.
Shima juga tidak menolak bahawa situasi yang berlaku sekarang sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kerjaya seninya, namun dia bersyukur kerana masih lagi mampu untuk meneruskan kehidupan.
“Kalau nak diikutkan, ada beberapa acara persembahan yang terpaksa ditunda. Kalau tak salah saya, di sini mungkin selepas tiga bulan, barulah semuanya akan disusun semula.
“Alhamdulillah sebab setakat ini, saya masih lagi mampu untuk menampung keperluan harian saya.
“Cumanya, saya sentiasa berharap dan berdoa agar semuanya kembali pulih kerana ramai orang yang kurang berkemampuan, paling rasa terkesan dengan situasi sekarang,” katanya.
Yang pasti, Shima sentiasa mengharapkan agar seluruh masyarakat mendoakan kesejahteraan semua bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, bahkan di seluruh dunia.