Bella Astillah, Aliff Aziz rujuk Julai tahun lalu




Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengesahkan sudah rujuk semula dengan suami yang juga penyanyi, Aliff Aziz pada Julai tahun lalu.

Sebelumnya, pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun yang sama.

Bagaimanapun, Bella yang terlebih dahulu berkongsi berita sudah kembali bersama penyanyi kelahiran Singapura itu di Twitter, kelmarin, tidak mahu lagi bercerita perkara sama.

"Kami rujuk Julai tahun lalu. Buat masa ini setakat itu saja saya mampu kongsi seperti di Twitter. Itu pun selepas beberapa hari berfikir. Saya rasa sudah memadai apa yang orang luar tahu sekarang. Selebihnya saya nak jalani hidup macam biasa sebab saya percaya masalah wabak Covid-19 ini jauh lebih penting dan harus kita ambil tahu.

"Sekiranya artikel demi artikel keluar, akan lebih ramai yang membuat dosa percuma kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menyumpah seranah. Itu yang kita cuba elakkan. Lagipun sekarang adalah Ramadan, bulan di mana kita mencari keredaan Allah dan memperbaiki diri.

"Saya cuba yang terbaik untuk simpan perkara ini dari tahun lalu kerana tahu ini yang akan terjadi di mana artikel akan keluar berlanjutan tanpa usul periksa netizen. Bukanlah saya yang nak menghebahkan, malah sudah belajar dari kesilapan lalu. Jika orang bercakap inilah akibatnya kalau suka mencanang hal rumah tangga, saya sebenarnya tidak pernah nak mencanang atau menagih simpati," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bella yang baru muncul dengan single Tenang, apa yang dibuat dahulu dengan mendedahkan sikap suaminya yang beberapa kali 'kantoi' dengan wanita termasuk dua pelakon semata-mata untuk memberi pengajaran.

"Apa yang dibuat dulu, saya gadaikan hal rumah tangga akibat orang ketiga. Itu pengajaran hebat bagi mereka yang ingat saya akan berdiam diri apabila tidak dipandang sebagai isteri dan dipijak-pijak.

"Itu pilihan saya waktu itu. Jadi, mereka tidak berani lagi mengulangi perkara sama selepas ini mahupun dengan suami orang lain," katanya yang dikatakan hamil ketika ini.

Namun, apabila ditanya mengenai usia kandungannya kini, Bella belum bersedia untuk berkongsi.

Menerusi sesi siaran langsung di Instagram semalam, Bella yang juga pelakon Cinta Belum Tamat Tempoh seakan memberi bayangan akan bersalin pada Julai ini.

Ia susulan pertanyaan daripada pengikut yang sedang menonton sesi siaran langsung itu.

"Saya punya 'due date' insya-Allah, Julai (sambil memperlahankan nada suara). Nantilah saya beritahu," katanya.

Menerusi sesi sama, keputusan untuk kembali bersama suami adalah demi anak mereka, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.

"Ada orang lain selepas bercerai jumpa orang lain. Itu jodoh dia. Tapi saya, ada hikmah di sebaliknya. Saya hanya nak yang terbaik untuk Ayden. Saya seronok melihat dia ada ibu bapa lengkap.

"Perpisahan lepas mematangkan kami. Menguatkan lagi kami dan memberi kesedaran. Kadang-kadang diduga perpisahan menjadikan kita lebih baik," katanya.

Dalam masa sama, Bella juga menjawab pertanyaan peminat yang berharap Aliff tidak buat hal lagi.

"Saya bukan sempurna. Saya tidak alim. Saya bukan Tuhan untuk cakap Aliff sudah baik dan berubah. Saya tawakal dan reda untuk terima dia sebagai suami. Saya tak boleh jamin dia sudah baik sebab saya bukan malaikat. Dia kata nak berubah, kena aminkan. Saya sabar dan percaya manusia itu takkan sampai bila-bila jahat," katanya.

Bella turut memaklumkan Aliff kini berada di Singapura.

Terdahulu, kisah pasangan itu kembali menjadi bualan apabila Bella memaklumkan sudah rujuk dengan Aliff ketika dalam tempoh edah dan sedang hamil menerusi komen yang dibalas kepada peminat di Instagram, kelmarin.

Previous Post Next Post